SEREMBAN, 1 April 2024 – Seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila menumbuk seorang wanita yang memandu Perodua Axia selepas anaknya dilanggar secara tidak sengaja berhampiran Bazar Aidilfitri Dataran Senawang, Sabtu lalu.

Insiden tersebut yang dirakam dan kini tular di TikTok, menunjukkan lelaki berkenaan menumbuk wanita itu sebanyak dua kali ketika mangsa masih berada dalam kenderaan.

Menurut adik mangsa yang memuat naik kronologi kejadian, kakaknya ketika itu sedang memandu secara perlahan sekitar 20 hingga 30 kilometer sejam selepas keluar dari simpang bazar. Bagaimanapun, jarak penglihatan hadapan terhalang disebabkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Aruz di hadapan.

“Keluarga lelaki itu sedang melintas, tapi dia berada sedikit di belakang manakala isteri dan anak-anaknya sudah di hadapan. Langgaran pun perlahan saja sebab kakak saya tak bawa laju,” katanya.

Beliau berkata, kejadian berlaku dengan pantas apabila kakaknya belum sempat keluar dari kereta untuk melihat keadaan mangsa, lelaki itu datang dan terus menendang pintu kereta sebelum menumbuk kepala kakaknya.

“Pintu kereta kakak saya rosak sebab ditarik kuat. Lepas tu dia tumbuk kakak saya dua kali, walaupun kakak saya dah minta maaf,” tambahnya lagi.

Lebih mengejutkan, mangsa turut mendakwa dirinya ditendang di bahagian perut semasa kejadian, dan kini mengalami trauma akibat serangan itu.

Laporan polis telah dibuat berhubung insiden berkenaan dan pihak Sinar Harian masih mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak berkuasa.

Orang ramai diingatkan agar tidak mengambil tindakan melulu ketika berlaku kemalangan, sebaliknya menyerahkan siasatan dan penyelesaian kepada pihak berwajib.