Sebagai ibu bapa, memastikan anak mendapat makanan bernutrisi tinggi adalah tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan. Makanan yang sekadar mengenyangkan tetapi tidak berkhasiat boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan dalam jangka masa panjang. Apatah lagi jika pengambilan makanan tidak sihat berlaku secara berterusan tanpa kawalan.

Inilah realiti yang dihadapi seorang ibu apabila anaknya, Anisa, yang baru berusia 6 tahun, disahkan menghidap leukemia. Dalam satu temubual, si ibu mendedahkan bahawa sejak kecil, Anisa kurang gemar makan sayur dan lebih suka makanan segera seperti sosej dan nugget. Tanpa sedar, makanan sejuk beku yang tinggi kandungan garam dan bahan pengawet itu menjadi sebahagian daripada diet harian anaknya.

Pada peringkat awal, Anisa mengalami demam berpanjangan serta ulser dalam mulut. Keadaan semakin merisaukan apabila dia kehilangan keupayaan untuk berjalan selama 6 bulan.

Walaupun pelbagai pemeriksaan dilakukan, doktor pada awalnya hanya mengesyaki ia berpunca daripada masalah keradangan dan masih belum dapat mengenal pasti penyakit sebenar.

Tangisan Penyesalan Seorang Ibu

Selepas disahkan menghidap leukemia, ibu Anisa dilanda rasa bersalah yang mendalam. Dia mengakui menangis hampir setiap hari selama sebulan kerana merasakan dirinya gagal dalam menjaga kesihatan anaknya sebaik mungkin. Kini, Anisa sedang menjalani rawatan kemoterapi, yang baru memasuki fasa kedua dan dijangka berlanjutan selama dua tahun.

Kisah ini menjadi peringatan kepada semua ibu bapa bahawa pemakanan yang sihat adalah kunci utama kesihatan anak-anak. Setiap makanan yang diberikan hari ini akan memberi kesan kepada masa depan mereka.