Bazar Ramadan sememangnya menjadi tempat pilihan ramai untuk mencari pelbagai juadah berbuka puasa. Namun, kebelakangan ini, semakin banyak rungutan daripada pelanggan yang mendakwa harga makanan dan minuman di bazar semakin tidak munasabah.

Terbaru, seorang wanita yang dikenali sebagai MokWe meluahkan rasa terkejut di TikTok selepas dikenakan caj RM10 hanya untuk secawan air minuman di Bazar Raya, Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR).

Menurut MokWe, dia sudah bertanya harga sebelum membeli, namun peniaga enggan memberikan jawapan dan terus menuang air ke dalam cawan sebelum meminta bayaran sebanyak RM10.

“Tak payahlah beli air di Bazar Raya TAR. RM10 untuk satu cup. Sebelum beli kita tanya harga, dia tak nak jawab. Dia terus masukkan air dalam cup dan minta bayaran RM10. Gila peniaga macam ni. Hati-hatilah kepada sesiapa yang nak membeli air di bazar ini, cekik darah,” luahnya dengan kecewa.

Ramai netizen menyarankan bahawa pelanggan berhak menolak pembelian jika tidak bersetuju dengan harga. Namun, MokWe menjelaskan dia bimbang akan timbul masalah jika dia menolak untuk membayar.

“Tempat orang ramai, kita ni perempuan. Memang terkejut dan terpaksa bayar. Kalau kita beredar terus, risau berlaku pergaduhan pula nanti,” jelasnya.

Tambahnya lagi, gerai yang menjual air RM10 itu dipercayai terletak berhadapan sebuah kedai Baju Melayu dengan papan tanda merah. Bagaimanapun, MokWe tidak pasti sama ada peniaga itu mempunyai lokasi tetap atau sering berpindah-randah.

Harga Makanan Pun Tidak Munasabah

Bukan hanya harga air yang mengejutkan, malah beberapa pelanggan turut berkongsi pengalaman yang sama mengenai harga makanan di bazar tersebut.

Seorang netizen, Dania, mendakwa dikenakan caj RM18 untuk bihun sup, manakala seorang lagi pengguna, Dhiaa, pula mendedahkan dia terpaksa membayar RM20 untuk menu yang sama.

Rata-rata netizen berpendapat bahawa harga yang dikenakan oleh segelintir peniaga bazar Ramadan ini terlalu melampau dan tidak berpatutan.

“Memang mahal, air limau nipis pun RM10. Kalau mangga float RM10 tak apalah juga. Sewa tapak murah, RM500 je. Kalau jual dengan harga RM5, orang boleh terima lagi. Tapi ini RM10, memang melampau,” kata seorang pengguna, Rahim.

Sewa Tapak Bazar Tidak Setinggi Dakwaan Peniaga

Berdasarkan laporan sebelum ini, kadar sewa tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri di lokasi tertentu adalah sekitar RM500 hingga RM2,000, bergantung kepada kawasan dan kemudahan yang disediakan.

Namun, alasan menaikkan harga kerana sewa tapak tinggi nampaknya tidak relevan bagi sesetengah peniaga, kerana ramai peniaga lain masih mampu menjual makanan pada harga yang berpatutan.

Perkara ini terus menjadi perbincangan hangat di media sosial, dengan ramai yang menyeru supaya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap peniaga yang mengenakan harga terlalu mahal tanpa sebarang kawalan.