Bayangkan hidup dalam rumah tangga yang bahagia bersama isteri tersayang dan dikurniakan beberapa orang anak. Segala kebahagiaan itu bagaimanapun musnah dalam sekelip mata apabila satu kebenaran mengejutkan terbongkar—anak-anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang bukanlah hasil daripada genetik sendiri. Lebih pelik lagi, ia bukan berpunca daripada kecurangan isteri. Inilah situasi luar biasa yang dialami oleh seorang lelaki.
Kisah ini didedahkan oleh seorang pakar perubatan, Dr. Christabel Akinola, melalui perkongsian di Instagram. Menurutnya, lelaki berkenaan menjalani kehidupan yang sempurna bersama isteri dan empat orang anak. Namun, segalanya berubah apabila salah seorang anak mereka mengalami masalah kesihatan yang memerlukan pendermaan darah. Ketika si ayah menawarkan diri untuk menjadi penderma, keputusan ujian menunjukkan jenis darah mereka tidak sepadan, membuatkan dia tidak layak menderma. Keadaan itu menimbulkan rasa ragu-ragu, dan dia akhirnya mengambil keputusan untuk menjalankan ujian DNA bagi mendapatkan kepastian. Hasilnya amat mengejutkan—keempat-empat anaknya langsung tidak mempunyai kaitan biologi dengannya.
Si isteri yang setia sejak awal perkahwinan berulang kali menegaskan bahawa dia tidak pernah curang. Namun, lelaki tersebut tetap berasa dikhianati, lantas menyebabkan perkahwinan mereka berakhir dengan penceraian. Selepas enam tahun berlalu, dia akhirnya berkahwin semula dan isterinya melahirkan seorang bayi lelaki. Kerana masih dihantui kisah silam, dia sekali lagi melakukan ujian DNA secara rahsia.
Malangnya, keputusan yang diperoleh lebih mengejutkan—anak daripada perkahwinan keduanya juga tidak mempunyai sebarang persamaan genetik dengannya. Dua kali berkahwin, lima orang anak, mungkinkah semuanya benar-benar bukan darah dagingnya?
Setelah pelbagai persoalan timbul, akhirnya jawapan sebenar ditemui. Dr. Christabel Akinola menjelaskan bahawa lelaki ini sebenarnya mengalami fenomena unik yang dikenali sebagai Kembar Chimera. Ketika masih dalam kandungan, dia sebenarnya mempunyai saudara kembar.
Namun, pada peringkat awal kehamilan, embrio kembar tersebut telah diserap ke dalam tubuhnya, menyebabkan dia memiliki dua jenis DNA berbeza dalam satu badan.
Kesemua anaknya sebenarnya mewarisi DNA daripada kembarnya yang telah ‘hilang’, bukannya daripada dirinya sendiri. Situasi seperti ini boleh berlaku pada sesiapa sahaja, sama ada lelaki mahupun wanita, dan hanya ujian genetik khas yang dapat mengesahkannya.