KUALA LUMPUR: Uqasha Senrose tampil memohon maaf atas keterlanjuran dirinya memuat naik hantaran di media sosial baru-baru ini yang didakwa menyentuh sensitiviti pelbagai pihak termasuk keluarganya sendiri.
Dalam satu entri berbentuk video di Instagram (IG), Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, mengakui bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap perkongsian yang dibuat tanpa berfikir panjang.
“Saya mahu minta maaf kepada semua yang sudah menonton video, gambar atau kapsyen saya sebelum ini yang mengundang kemarahan atau keaiban sesiapa pun. Saya tiada niat langsung untuk menyakiti sesiapa,” katanya.
Menerusi video berkenaan, Uqasha turut ditemani ibunya, Rosmizai Mohd Noor, serta seorang individu dikenali sebagai ‘Cerai Coach’, menjelaskan bahawa tindakannya itu dilakukan ketika dirinya sedang beremosi dan tidak rasional.
“Saya tak patut bercakap mengenai perkahwinan secara umum. Saya akui itu kesilapan saya sendiri. Ketika itu saya marah, sedih dan terlalu penat, lalu saya bertindak secara emosional. Tapi semua itu bukan alasan, saya tetap minta maaf,” katanya lagi.
Uqasha berkata, dia menyesali perbuatan itu dan sedar seharusnya menguruskan isu rumah tangga secara lebih matang dan tertutup.
