KUALA LUMPUR: Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ) tampil bersuara lantang berhubung keputusan FIFA menolak rayuan Malaysia — dengan mendakwa badan bola sepak dunia itu tersilap guna undang-undang!

Menerusi hantaran di Instagram Story baginda, TMJ menegaskan bahawa FIFA telah salah tafsir Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA, yang sebenarnya hanya membenarkan tindakan terhadap individu yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu.

“Tiada mana-mana pemain Malaysia yang buat begitu. Jadi tindakan ini tidak sepatutnya dikenakan kepada mereka,” tegas baginda.

TMJ turut mendakwa hukuman yang dikenakan kelihatan tidak berasaskan undang-undang, sebaliknya lebih kepada “bermotif politik”.

Katanya lagi, keputusan itu menunjukkan seolah-olah ada tangan ghaib atau tekanan tertentu di sebalik pentadbiran FIFA.

“Ada yang suka menuding jari, ada yang suka buat bising. Tapi saya pilih untuk berdiri teguh bersama pemain — memperjuangkan keadilan sampai habis,” tulis TMJ.

Baginda menambah bahawa perjuangan kini akan diteruskan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) — satu badan bebas yang berkuasa menilai semula keputusan FIFA.

Sumber dalam FAM turut mengesahkan, peguam antarabangsa kini sedang menyiapkan dokumen rasmi untuk rayuan penuh ke CAS seawal minggu depan.

Nampaknya, isu ni belum selesai — dan gelanggang perlawanan Harimau Malaya kini berpindah ke pentas undang-undang antarabangsa!