SHAH ALAM – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa pertuduhan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan di dalam kes Zara Qairina Mahathir, 13, adalah bersandarkan kepada bukti dan fakta yang diperoleh hasil daripada siasatan yang dijalankan.
AGC dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, berdasarkan penelitian mereka terhadap kertas siasatan, pertuduhan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibuat kerana pertuduhan itu merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina.
“Jabatan ini merujuk kepada Kenyataan Media bertarikh 19 Ogos 2025 yang dikeluarkan oleh peguam lantikan Puan Noraida Lamat, ibu kepada arwah Zara Qairina, mengenai permohonan pihak peguam untuk menangguhkan pendakwaan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan serta cadangan pertuduhan pihak peguam di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
“Kenyataan peguam di Perenggan 4 kepada kenyataan media tersebut adalah bersifat spekulatif tanpa disokong oleh fakta yang tepat.
“Dalam hal tersebut, prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca kematian sebenar Zara Qairina,” menurut kenyataan berkenaan.
Terdahulu, pasukan peguam yang mewakili Noraidah memohon agar pendakwaan yang dijadualkan pada Rabu ditangguhkan sementara waktu supaya dapat dipertimbangkan semula untuk mendakwa lima remaja terbabit di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
Dalam kenyataan media bersama, pasukan peguam itu memaklumkan bahawa mereka baru mengetahui lima remaja tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.
Mereka khuatir sekiranya pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah, mereka tidak lagi boleh didakwa atas dasar ‘Double Jeopardy’ yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan sekiranya siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan atau kesalahan yang lebih berat.