Menjadi badut jalanan bukan kerja mudah. Dalam cuaca panas terik dan beban kostum yang berat, ramai yang sanggup menelan rasa malu demi mencari sesuap nasi.
Mereka menyarung pakaian watak animasi popular, melangkah dari satu tempat ke satu tempat menghiburkan orang ramai, sambil berharap akan ada yang sudi menghulurkan sumbangan.
Namun bagi seorang remaja bernama Adi, 18 tahun, takdirnya bertukar menjadi tragedi. Apa yang sepatutnya menjadi satu lagi malam biasa mencari rezeki, akhirnya menjadi malam terakhir hidupnya.
Kepala Kostum Tercampak, Adi Terjun Sungai Tanpa Fikir Panjang
Pada malam 12 April lalu, Adi sedang menjalankan rutin hariannya sebagai penghibur jalanan. Dia memakai kostum watak popular, Labubu, dan berjalan di sekitar tebing sungai.
Namun menurut saksi, kostum besar itu membuatkan langkahnya tidak stabil, dan dia kelihatan terhuyung-hayang.
Ketika melalui kawasan berdekatan sungai, tiba-tiba kepala kostum Labubu yang dipakainya tercampak ke dalam air. Tanpa ragu, Adi terus melompat masuk ke sungai demi menyelamatkan bahagian paling penting dalam kostumnya itu.
Arus Deras, Kostum Berat – Adi Gagal Selamatkan Diri
Apa yang Adi tak sangka, arus sungai ketika itu sangat deras. Ditambah pula dengan kostum yang telah menyerap air, tubuhnya semakin tenggelam dan dia gagal berenang ke tebing semula.
Beberapa orang awam yang menyaksikan kejadian itu segera menghubungi pasukan penyelamat. Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan, namun setelah 5 jam pencarian, mayat Adi akhirnya ditemui sejauh 50 meter dari tempat dia mula terjun.
Diuji Cinta, Tetap Bekerja Demi Rezeki
Menurut pemilik perniagaan kostum yang disewa Adi, remaja itu sebenarnya sedang melalui fasa kekecewaan peribadi. Dia baru mengetahui teman wanitanya berlaku curang.
Sejak itu, Adi menjadi lebih pendiam, namun dia tetap meneruskan kerja hariannya — mungkin demi melupakan luka hati, mungkin juga demi sesuap rezeki.
Tragedi Sungai Mahakam Yang Tinggalkan Luka
Kisah Adi meruntun hati netizen, terutamanya apabila mengenangkan pengorbanan seorang anak muda yang bekerja keras walau dalam tekanan emosi.
Kehilangannya bukan sahaja menyentuh hati keluarga, malah membuka mata ramai tentang betapa beratnya beban yang ditanggung oleh mereka yang mencari rezeki di jalanan.
Al-Fatihah buat Adi. Semoga tenang di sana.
Kredit: Portal RCTI+ & TikTok @chika.pratiwi91