EMPAT tahun melayari bahtera perkahwinan, namun ulang tahun kali ini berbeza bagi pelakon Kamal Adli.
Buat pertama kali, aktor berusia 38 tahun itu menyambut hari istimewa tanpa kehadiran isteri tercinta, Uqasha Senrose, di sisi.
Walau rancangannya untuk meraikan detik bermakna itu tidak kesampaian, Kamal tetap reda dan memilih untuk terus berjuang mempertahankan rumah tangga yang sedang diuji.
“Alang-alang semua ada di sini, saya nak beritahu, bahawa hari ini adalah ulang tahun perkahwinan saya yang keempat.
“Saya sebenarnya sudah ada perancangan untuk menyambut hari ulang tahun perkahwinan tapi disebabkan isu yang berbangkit ini, ia tak dapat dilaksanakan.
“Tak mengapalah, saya okay sahaja,” katanya memetik Media Hiburan.
“Tahun ini, sambutan anniversary saya agak berbeza. Saya sambut sendiri sahaja. Saya sebenarnya memang ambil cuti selama tiga hari.
“Saya memang sudah merancang dan setiap tahun memang begitu. Cuma tahun ini sambutannya tak berjaya sangat,” kongsinya lagi.
Mengakui fasa lima tahun pertama paling mencabar, Kamal yang sedang melalui ujian besar dalam rumah tangga kekal tabah dan berazam untuk mempertahankan perkahwinan serta bukan mencari jalan keluar.
“Seperti yang orang selalu perkatakan, lima tahun pertama perkahwinan memang agak mencabar.
“Saya selalu bercakap kepada diri sendiri, ini adalah dugaan yang ALLAH hendak beri.
“Insya-ALLAH ada benda baik yang menanti. Saya mengharapkan benda yang baik itu adalah dapat bersama kembali dengan keluarga. “
