PETALING JAYA – “Saya diceraikan kali pertama ketika hamil anak sulung.”
Demikian pengakuan isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek ketika ditanya berkenaan talak yang dilafazkan suaminya pada tahun 2017.
Ini susulan wanita yang diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader memohon mahkamah mengesahkan dahulu lafaz cerai kali pertama lapan tahun lalu serta rujuk, sebelum prosiding pengesahan talak kedua pada 26 Ogos lalu disebut.
Diminta mengulas alasan tidak mendaftarkan cerai serta rujuk didakwa ketika masih dalam idah dahulu, kata Afifah, dia menyerahkan urusan terbabit kepada suami.
“Itu (patutnya diuruskan) Nubhan,” katanya yang hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada pukul 9.40 pagi tadi bagi prosiding pengesahan lafaz cerai difailkan suaminya.
Turut ditemani adik lelaki serta beberapa ibu saudara, Afifah Hidayah juga doktor gigi menyatakan tiada pergaduhan besar berlaku yang membawa kepada talak dilafazkan suami.
“Pada malam itu dia datang ambil di rumah. Makan malam dan berbual macam biasa, tetapi kemudian dalam perjalanan balik rumah suami lafazkan cerai.
“Saya terkejut dan tak sangka akan berlaku lagi perceraian. Saya tak tahu kenapa, mungkin wujud salah faham,” ujarnya.
Mengenai hubungan dengan ibu mentua atau dikenali sebagai Mak Jenny, katanya, dia bertemu wanita terbabit semalam.
“Mak mentua tahu (nak cerai), semalam saya ada jumpa tapi sebelum ini kami tak berhubung secara langsung,” ulasnya.