KOTA KINABALU – Saksi ke-35 inkues kematian Zara Qairina mendakwa bahawa dia ada membaca dalam diari pelajar Tingkatan Satu itu yang meluahkan kata-kata kesat kepada ibunya sendiri.

Perkara itu diberitahu ketika saksi kanak-kanak ke-26 memberi keterangannya secara ‘in camera’ di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner di sini, pada Rabu.

Peguam Joan Goh berkata, saksi merupakan pelajar Tingkatan Satu di sekolah tersebut dan rakan biasa kepada Zara Qairina serta mereka tinggal di dorm yang sama.

“Dalam keterangannya, saksi pernah nampak Zara menulis diari dan sentiasa menulis diari di dalam bilik asrama. Saksi pernah curi-curi baca diari lama dia yang pernah dikoyak oleh Zara sendiri.

“Buku diari Zara yang lain saksi tiada membacanya dan hanya nampak dia menulis semasa di asrama. Saksi tidak pasti mengapa Zara koyakkan diari lama dia sendiri, saksi boleh cam buku diari milik Zara dan cam tulisan Zara serta ingat buku diari yang ditulis.

“Yang saksi ingat bila dia curi-curi baca diari Zara adalah mengenai ibunya dan juga dorm. Saksi juga baca bahawa Zara memaki ibunya dalam diari tersebut,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, pada Rabu.

Joan turut berkata, menurut keterangan saksi bahawa Zara Qairina tidak pernah mengadu kepada saksi tentang gangguan semasa di asrama seperti buli, tekanan belajar dan keletihan.

“Saksi tidak mempunyai apa-apa konflik dengan Zara. Saksi tidak pasti sama ada Zara mempunyai konflik dengan pelajar lain di sekolah tersebut. Saksi tidak pernah nampak Zara dimarah atau diganggu oleh pelajar lain,” katanya.