Kota Kinabalu: Peguam keluarga Zara Qairina Mahathir mengesahkan beberapa pakar tulisan tangan akan hadir ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, esok.

Shahlan Jufri berkata, pakar tulisan tangan bebas sudah selesai menjalankan analisis mereka.

“(Peguam kami) Mohd Syarulnizam Mohd Salleh akan memberi taklimat kepada media pagi esok,” katanya kepada New Straits Times.

Minggu lalu, Shahlan memaklumkan pakar itu ditugaskan untuk mengesahkan ketulenan bahan bertulis, termasuk buku nota, dokumen peribadi dan diari, sebagai sebahagian daripada inkues yang sedang berlangsung berhubung kematian remaja perempuan berusia 13 tahun itu.

Pengesahan ini penting untuk memastikan sebarang analisis psikologi terhadap tulisan Zara Qairina adalah berdasarkan dokumen yang sahih.

Dalam hari ketiga inkues, seorang pemeriksa dokumen, Nurul Atiqah saksi dari Jabatan Kimia di Petaling Jaya dipanggil.

Beliau sudah memeriksa 21 bahan bukti termasuk helaian kertas yang koyak, buku dan buku teks serta buku latihan sekolah.

Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa tulisan tangan yang diragui dalam bahan itu adalah serupa dengan yang terdapat dalam dua buku teks sekolah dan sebuah buku latihan milik Zara Qairina.

Namun begitu, salah satu buku yang dikenali sebagai W3, ditulis oleh Zara bersama seorang lagi rakan.

Muka surat pertamanya mengandungi nama serta tulisan kedua-duanya, menunjukkan buku itu dimiliki bersama.

Inkues Hari Ke -12

Mengulas hari ke-12 inkues hari ini, Shahlan berkata saksi kanak-kanak kedua sudah dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan koroner Amir Shah Amir Hassan.

Beliau berkata, saksi ke-10 dalam prosiding selama 17 hari itu memberitahu mahkamah bahawa Zara Qairin memang dipanggil oleh pelajar senior dan dilihat menangis di asrama selepas itu.

Peguam mewakili ibu Zara, Shahlan Jufri, dalam sidang media selepas prosiding berkata, saksi tersebut menceritakan bahawa pada malam 15 Julai 2025, arwah telah dipanggil ke sebuah dorm lain oleh pelajar senior untuk disiasat berhubung kes kecurian.

Pelajar Senior Kerap Menuduhnya Mencuri

โ€œSetelah selesai disiasat di dorm lain Zara masuk balik ke bilik dia dan menangis, menangis dengan kuat serta menjerit menafikan yang dia mencuri.

โ€œAdalah perkataan yang arwah Zara gunakan untuk menafikan perkara tu dan kesemua ahli dorm mengikut saksi ini melihat Zara menangis sebab dia dituduh mencuri dan tidak ada ahli ahli dorm yang menenangkan Zara ketika itu, dan pada masa itu kesemua ahli ahli dorm lagi masih belum tidur,โ€ katanya.

Menurut keterangan saksi, kejadian itu berlaku sekitar jam 9 hingga 10 malam, ketika semua penghuni dorm masih belum tidur. Selepas itu, saksi terbabit tidak lagi melihat Zara kerana dia sendiri masuk tidur.

Jelasnya lagi, kecurian berkenaan turut melibatkan seorang pelajar Tingkatan 1 lain yang dipanggil bersama Zara untuk disoal siasat.

Shahlan memaklumkan bahawa saksi kanak-kanak pertama hadir bersama ayahnya, manakala saksi kedua pula didampingi ibunya.

Pelajar itu dijangka menyambung keterangannya esok.

Sementara itu, peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili salah seorang pelaku kanak-kanak yang berkaitan dengan kes Zara, berkata anak guamnya, iaitu saksi kanak-kanak pertama, sudah dibebaskan sekitar jam 3.30 petang selepas memberi keterangan selama dua hari.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai di sekolahnya, SMKA Tun Datu Mustapha, dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).