KUALA LUMPUR: Proses penggalian semula kubur pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, dijangka bermula sekitar jam 4 petang ini di Tanah Perkuburan Tanjung Hubi, Mesapol, Sipitang, Sabah.
Peguam keluarga, Hamid Ismail, berkata permohonan penggalian semula telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar sekitar pukul 1.30 tengah hari tadi dan tiada bantahan terhadap pelaksanaan prosedur itu.
Menurutnya, tujuan utama penggalian adalah untuk membolehkan bedah siasat dijalankan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, yang penting bagi melengkapkan siasatan berhubung kematian remaja berusia 13 tahun itu.
Hamid memaklumkan penggalian akan dilaksanakan dengan kehadiran ibu Allahyarham, Noraidah Lamat, serta wakil-wakil daripada Jabatan Agama Islam Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Beliau berkata keadaan cuaca yang tidak menentu mungkin mempengaruhi tempoh pelaksanaan penggalian, namun ia tetap dijangka bermula sekitar jam 4 petang.
Menurut AGC, tindakan menggali semula jenazah itu diambil selepas melihat keperluan memperincikan hasil siasatan awal, khusus bagi memastikan semua aspek siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh.
Zara dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar pada 16 Julai lalu, dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya selepas dirawat di hospital.
Kes ini turut dikaitkan dengan dakwaan buli, dan siasatan menyeluruh kini sedang berjalan bagi menentukan punca sebenar tragedi tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini menegaskan bahawa siasatan perlu dijalankan secara telus dan tiada sesiapa dilindungi, tidak kira siapa pun yang terlibat.