FAM Belum Kemuka Rayuan, FIFA Tetapkan 10 Hari – Kini Sudah Masuk Hari ke-7
KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum mengemukakan rayuan rasmi berhubung keputusan penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), meskipun badan induk dunia itu telah menetapkan tempoh hanya 10 hari untuk proses rayuan difailkan.
Dalam satu kenyataan rasmi, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman berkata pihaknya masih menunggu dokumen penuh penghakiman daripada FIFA sebelum sebarang tindakan lanjut dapat diambil.

“Proses rayuan hanya akan dimulakan sebaik sahaja dokumen penuh keputusan penghakiman tersebut diterima. Buat masa ini, tiada kenyataan tambahan sehingga rayuan selesai sepenuhnya,” katanya.
Bagaimanapun, situasi ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong Harimau Malaya kerana hari ini sudah memasuki hari ke-7 daripada 10 hari yang diberikan oleh FIFA. Ramai yang bimbang tempoh masa singkat itu tidak mencukupi sekiranya FAM hanya menunggu dokumen penuh tanpa sebarang tindakan awal.
Difahamkan, kes ini berkait dengan isu pemalsuan dokumen melibatkan beberapa pemain warisan, yang membawa kepada keputusan FIFA menjatuhkan hukuman penggantungan ke atas Malaysia.
Jika rayuan gagal difailkan dalam tempoh masa ditetapkan, Malaysia berdepan risiko lebih besar termasuk penggantungan lebih lama dalam kancah antarabangsa serta kemungkinan kehilangan peluang kelayakan ke Piala Asia dan Piala Dunia.
Kini, tumpuan peminat bola sepak tempatan terarah kepada FAM – sama ada mereka mampu bergerak pantas untuk menyelamatkan reputasi negara atau terus dilihat alpa sehingga Harimau Malaya ‘disembelih’ di pentas antarabangsa.
