Pasir Gudang: Seramai 18 individu termasuk pelajar dan pekerja asing dicekup kerana disyaki berkhalwat dalam operasi mengejut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di beberapa hotel bajet sekitar Pasir Gudang dan Masai, awal pagi semalam.
Operasi bersepadu bersama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang berlangsung dari jam 10 malam hingga 4 pagi itu mendapati beberapa pasangan berada dalam keadaan mencurigakan.
Mereka memberikan pelbagai alasan termasuk sudah terlalu lewat untuk pulang ke asrama dan hanya berbual selepas perjalanan jauh.
Antara yang ditahan ialah seorang lelaki berusia 25 tahun dari Pontian bersama teman wanitanya, seorang pelajar berusia 20 tahun dari Mersing.
Turut ditahan seorang lelaki dari Masai berusia 24 tahun bersama seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai pelajar dari Sarawak, yang memberi alasan sudah bertunang.
Pasukan penguat kuasa turut menahan lima warga asing beragama Islam, terdiri daripada empat warga Indonesia dan seorang warga Pakistan, yang dipercayai bekerja di kawasan perindustrian berhampiran.
Dalam satu kenyataan, JAINJ mengingatkan orang ramai bahawa pihaknya tidak pernah ‘bercuti’ dan penguatkuasaan moral akan diteruskan walaupun pada musim perayaan.
“Penguat kuasa JAINJ tetap bertugas pada cuti hujung minggu dan jangan menyangka penguat kuasa tidak bertugas sehingga bebas melakukan maksiat,” menurut kenyataan itu.