Peguam Keluarga Minta Tuduhan Buli Zara Qairina Dikaji Semula, Bimbang Kes Lebih Berat Tak Boleh Dibawa
KUALA LUMPUR – Sekumpulan peguam yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir tampil dengan kenyataan media, memohon agar Jabatan Peguam Negara menangguhkan sementara pertuduhan terhadap lima remaja bawah umur yang dikaitkan dengan kes buli tragis tersebut.
Mereka menyatakan kebimbangan berhubung keputusan untuk mendakwa remaja itu di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan membuli.
Katanya, jika pertuduhan itu diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah, kemungkinan akan timbul masalah apabila siasatan lanjut atau prosiding inkues kelak menemui bukti jenayah lebih serius.
Menurut peguam, jika terbukti ada asas kukuh untuk menuduh suspek-suspek di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan – yang memperuntukkan kesalahan buli dengan akibat lebih serius dan hukuman lebih berat – pendakwaan tidak lagi boleh dilakukan kerana terikat dengan prinsip “double jeopardy”. Prinsip ini bermakna seseorang tidak boleh didakwa dua kali atas kesalahan yang sama.
Oleh itu, mereka merayu agar Peguam Negara meneliti semula dakwaan semasa, dan jika perlu menunggu hasil inkues serta siasatan lanjut sebelum mendakwa suspek dengan seksyen yang lebih berat. Surat rasmi telah dihantar pagi ini kepada pejabat Peguam Negara untuk dipertimbangkan segera.
Apa Maksud Seksyen 507C(1) & 507D(2)?
Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan
- Merujuk kepada kesalahan membuli secara umum – termasuk ugutan, pemerasan, serangan fizikal atau psikologi yang dilakukan dalam konteks buli.
- Hukuman: Boleh dikenakan penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Ia dianggap seksyen asas untuk mendakwa kes-kes buli.
Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan
- Lebih berat kerana ia merujuk kepada kesalahan buli yang mengakibatkan kecederaan serius, trauma, atau kesan jangka panjang kepada mangsa.
- Hukuman: Boleh membawa penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, bergantung pada tahap kesan buli itu terhadap mangsa.
Kenapa Isu Ini Penting?
Peguam keluarga risau kalau dakwaan bawah Seksyen 507C(1) diteruskan, hukuman yang dijatuhkan mungkin terlalu ringan dan tidak setimpal dengan penderitaan yang dialami arwah Zara. Jika kemudian terbukti wujud unsur kesalahan lebih serius (misalnya buli membawa kepada kematian), undang-undang tidak lagi membenarkan suspek dituduh semula kerana sudah ada sabitan awal.
Langkah berjaga-jaga ini penting kerana masyarakat menaruh harapan tinggi agar kes Zara Qairina menjadi precedent (contoh kes) untuk menangani isu buli secara serius di sekolah.