KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menghantar pasukan khas dari Bukit Aman bagi mengambil alih siasatan kes kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Pasukan khas yang terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu telah digerakkan ke Kontinjen Sabah.

Menurut kenyataan Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), penghantar pasukan โ€˜task forceโ€™ ini adalah sebahagian daripada komitmen PDRM bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.

โ€œPDRM memandang serius setiap kes yang melibatkan kehilangan nyawa,โ€ katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, katanya PDRM menyeru supaya semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional serta mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

Semalam, proses bedah siasat jenazah Allahyarham Zara Qairina yang dibuat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, Sabah, berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Peguam Shahlan Jufri yang menyaksikan proses itu atas permintaan keluarga arwah bermula dari jam 11 pagi hingga jam 7.30 malam, melihat sendiri prosedur itu dari mula hingga akhir.

Sebaik selesai bedah siasat selama lapan jam, jenazah dikebumikan semula malam tadi yang mengambil masa kira-kira 30 minit dan selesai sekitar jam 1 pagi.

Pelajar berusia 13 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di SMKA Tun Mustapha, Papar pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth. โ€“ Info X