SIPITANG: Penggalian semula kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, di sini, selesai selepas lebih sejam proses itu berlangsung.

Perkara itu dimaklumkan peguam mewakili keluarga pelajar berkenaan, Hamid ismail, dengan jasad Zara Qairina kini dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu sejurus penggalian selesai jam 7.31 malam.

Beliau juga mengesahkan bedah siasat dijangka dijalankan jam 9 pagi esok.

Katanya, proses penggalian kubur arwah berjalan lancar dan jenazah selamat dikeluarkan sebelum dimasukkan ke kenderaan jenazah untuk dibawa ke Unit Forensik HQE.

“Terima kasih atas doa anda semua… hujan renyai-renyai sehingga kini. Doakan Zara, doakan ibunya,” katanya ketika ditemui.

Proses penggalian kubur bermula jam 6.04 petang tadi, dilakukan anggota forensik dengan disaksikan antaranya ibu bapa Zara Qairina dan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali dari Mahkamah Majistret Sipitang.

Terdahulu, kira-kira 100 ahli keluarga, kenalan dan penduduk setempat hadir menyaksikan proses itu, dengan rata-rata mereka menunggu sejak tengah hari tadi sehinggalah proses penggalian selesai.

Proses itu dikawal sepasukan anggota polis bagi memastikan penggalian kubur arwah berjalan lancar, manakala pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) turut memantau proses penggalian.

Jenazah Allahyarham Zara sebelum ini dikebumikan 17 Julai lalu selepas disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, sehari sebelum itu.

Penggalian semula kubur dilakukan selepas mendapat perintah majistret melalui pendengaran secara aplikasi Zoom di IPD Papar tengah hari tadi.

Sebelum ini, keluarga arwah meminta kubur arwah digali semula bagi membolehkan proses bedah siasat dijalankan untuk melengkapkan siasatan pihak berkuasa berhubung punca kematian pelajar terbabit.

Jasad Zara Qairina masih utuh, dalam keadaan baik – Imam masjid

Peguam keluarga arwah, Hamid Ismail berkata, jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu bagi proses bedah siasat yang akan dijalankan pada 9 pagi esok.

“Urusan penggalian kubur berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Terima kasih atas doa anda semua.

“Hujan turun renyai-renyai sehingga kini. Doakan Zara. Doakan ibunya,” katanya ketika ditemui.

Proses penggalian kubur Allahyarham yang bermula pada jam 6.04 petang tadi dilakukan pasukan forensik polis dengan disaksikan antaranya oleh ibu bapa Zara dan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali daripada Mahkamah Majistret Sipitang serta Patologi Forensik Dr Jessie Hiu.

Jenazah Allahyarham Zara sebelum ini dikebumikan pada 17 Julai lalu setelah disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah agama di Papar.

Penggalian semula kubur arwah Zara dilakukan selepas mendapat perintah Mahkamah Majistret yang diperdengar secara Zoom di IPD Papar tengah hari tadi.