KUALA LUMPUR – Isu kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung penganjuran majlis melibatkan alkohol di dewan awam dalam kawasan sekolah, terus mencetuskan gelombang reaksi — kali ini daripada Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng.

Ahli Parlimen Bagan itu menyifatkan kenyataan Anwar di Dewan Rakyat semalam seperti “menjolok sarang tebuan” kerana menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat Cina, khususnya yang terbabit dengan sekolah vernakular.

“Pandangan itu dilihat sebagai pencerobohan yang tidak perlu terhadap adat resam yang sudah lama diamalkan oleh komuniti Cina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, majlis perkahwinan, makan malam dan acara hiburan yang diadakan di dewan komuniti sekolah Cina sudah menjadi tradisi selama beberapa dekad, dan selalunya dianjurkan di luar waktu sekolah tanpa melibatkan pelajar.

Beliau turut mendakwa, rasa tidak puas hati masyarakat Cina berpunca daripada persepsi bahawa perdana menteri mengikut rentak pelampau dan perkauman, sedangkan adat tersebut tidak pernah menimbulkan sebarang kontroversi sebelum ini.

“Ketika PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan sebelum ini pun, mereka tidak pernah campur tangan. Aktiviti komuniti Cina berjalan seperti biasa tanpa gangguan,” tegasnya.


“Bimbang Lepas Alkohol, Daging Babi Pula Dilarang”

Dalam nada sinis, Guan Eng turut melahirkan kebimbangan sekiranya larangan itu menjadi langkah pertama kepada pengharaman lain pada masa hadapan.

“Memandangkan daging babi diharamkan di institusi kerajaan, adakah selepas ini sekolah rendah Cina akan dilarang menghidangkan daging babi pada majlis perkahwinan, makan malam di kuil dan acara adat lain?” soalnya.