Kuala Lumpur: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan supaya semua pihak memberi ruang kepada proses siasatan dan keputusan berhubung isu hukuman Persekutuan Bolasepak Antarangsa (FIFA) yang dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan.

Baginda yang juga mantan Presiden FAM menegaskan, penting untuk semua pihak menghormati proses yang sedang berjalan dan membiarkan kebenaran muncul daripada pihak bertanggungjawab.

“Saya rasa tidak perlu untuk saya mengulas kerana ramai sudah memberi pandangan.

“Untuk lebih adil, biarlah proses ini berjalan seperti sepatutnya. Biar kebenaran didedahkan dan datang daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pada Majlis Walk With King Of Sport di Stadium Merdeka, sebentar tadi.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, apa yang berlaku wajar dijadikan pengajaran berharga buat semua supaya kesilapan sama tidak berulang pada masa hadapan.

“Sudah tentu perkara ini perlu menjadi ingatan kepada semua pada masa akan datang. Kita semua mesti membetulkan keadaan demi kebaikan bola sepak negara.

“Ini bukan masa untuk menuding jari. Kita perlu bangkit daripada kegelisahan dan masalah yang sedang melanda bola sepak kita dengan semangat baharu,” titah baginda.