Kota Kinabalu: Allahyarham Zara Qairina Mahathir pernah menyuarakan hasrat untuk mencederakan diri sendiri.

Peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili salah seorang kanak-kanak yang dikaitkan dengan Zara Qairina, berkata dua pelajar memberi keterangan mereka pernah mendengar Zara mengemukakan soalan-soalan hipotesis.

“Dua saksi menyatakan mereka diberitahu lebih daripada 10 kali perkara seperti, ‘Kalau saya terjun dari sini, adakah masih ada orang menyayangi saya…. atau apakah rasanya?” katanya kepada media ketika memberikan makluman mengenai keterangan tiga orang saksi kanak-kanak sejak Isnin.

Azhier berkata, walaupun Mahkamah Koroner belum mengesahkan catatan diari yang dikatakan milik Zara, saksi kedua menyatakan dia mengenali tulisan tangan remaja itu dalam catatan yang ditunjukkan kepadanya.

“Dalam catatan itu, penulis meluahkan perasaan seperti: ‘Ya Allah, kenapa aku dibenci?’ dan ‘Kenapa aku tidak disukai?

“Apabila kami bertanya sama ada kandungan catatan itu pernah disuarakan oleh Zara kepada mereka, mereka menjawab ya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan saksi pertama menyatakan terdapat ketegangan antara Zara dan ibunya dua hari sebelum remaja berusia 13 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di sekolahnya.

Saksi itu memaklumkan dia bermalam di rumah Zara di Sipitang, dan kedua-duanya dihantar kembali ke sekolah pada 13 Julai.

“Mereka dihantar semula oleh ibu Zara. Menurut saksi, terdapat satu kejadian Zara dimarahi oleh ibunya.

“Sebab itulah, ketika bersalam dengan ibunya selepas tiba di sekolah, Zara kelihatan tidak ikhlas melakukannya,” katanya.

Azhier berkata walaupun tiga saksi kanak-kanak sudah memberi keterangan, tiada sebarang kesimpulan harus dibuat berkenaan punca kematian Zara Qairina kerana ramai lagi saksi dijangka memberi keterangan.

Inkues akan disambung semul dengan dua lagi saksi kanak-kanak dijadualkan memberi keterangan.

BACA DIARI PENUH DI BAWAH SEKALI