KUALA LUMPUR: Pelakon Puteri Sarah Liyana, 38, tiba di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada jam 9.18 pagi ditemani ahli keluarga untuk mendengar lafaz cerai daripada suaminya, pengarah Syamsul Yusof, hari ini.
Syamsul dan Puteri Sarah mencapai kata sepakat pada 10 April lalu untuk bercerai agar kemelut di antara mereka tidak terus berpanjangan. Kedua-duanya berjumpa pada hari sebelumnya bagi melakukan perbincangan itu.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh ini selepas peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, memaklumkan Syamsul dan anak guamnya, sudah mencapai persetujuan untuk membubarkan perkahwinan mereka secara baik serta aman.
Bagaimanapun beliau berkata, terma-terma penyelesaian hanya akan dimaklumkan pada tarikh ini, antaranya menyentuh isu hadanah, nusyuz, mutaah, nafkah, idah dan harta sepencarian.
Pada 6 April lalu, Syamsul hadir pada sebutan pertama kes nusyuz yang difailkannya terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 21 Mac lalu.
Syamsul juga memaklumkan, dia reda dengan apa saja keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) berhubung kes permohonan cerai itu.
Terdahulu, pada 24 Mac lalu, proses JKP yang berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membabitkan Syamsul dan Puteri Sarah difahamkan gagal menemui jalan penyelesaian.
Pada 21 Mac lalu, Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah dengan alasan isterinya itu masih menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang.
Alasan lain dikemukakan Syamsul atas tuntutan nusyuz dibuat termasuk meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
[redirect url=’https://shope.ee/40ATeOtsjw’ sec=’3′]