Kaedah ‘Co-Teaching’ Dua Guru Satu Kelas Mulai 2027

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan pendekatan baharu ‘co-teaching’ atau pengajaran bersama dua guru dalam satu kelas akan diperkenalkan menerusi Kurikulum Persekolahan 2027.

Kaedah ini menekankan keseimbangan antara akademik dan pembentukan karakter pelajar, selain menjadikan PdP lebih kreatif, interaktif dan menarik.

Menurut Fadhlina, ‘co-teaching’ bukan bermaksud guru dibantu pembantu pengajar, sebaliknya dua tenaga pengajar setara bekerjasama dalam satu kelas bagi memastikan semua pelajar mendapat perhatian sewajarnya dan mengurangkan keciciran.

“Dalam kaedah ‘co-teaching’, dua guru bekerjasama dalam satu kelas, ia bukannya seorang guru dibantu pembantu pengajar, tetapi gabungan dua tenaga pengajar setara yang memainkan peranan bagi menjadikan sesi pembelajaran lebih berkesan dan menarik minat pelajar.”

Kurikulum baharu itu turut memperkenalkan pembelajaran bersepadu, contohnya menggabungkan subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Muzik dalam satu sesi, serta memastikan nilai dan karakter diterapkan dalam semua mata pelajaran, bukan sekadar Pendidikan Islam atau Moral sahaja.

KPM yakin pendekatan ini mampu menjadikan suasana belajar lebih menyeronokkan dan relevan dengan generasi masa kini yang dekat dengan teknologi dan gajet.