ALOR SETAR – “Adik cerita pada polis, katanya dia nak keluar mandi, lepas itu dia nampak macam suami saya panggil dia. Dia kata ada suara ejek-ejek dia, macam orang perli.”
Demikian kata Marliana Awang, 39, isteri kepada Nasir Md Nanyan, 45, yang maut dalam kejadian tragis di Kampung Pida 3, Jerlun pada malam Jumaat.
Menurut Marliana, suspek yang juga adik ketiganya, dipercayai mengalami gangguan perasaan dan pernah menunjukkan tanda-tanda halusinasi serta kemurungan.
“Kalau orang kampung datang ke rumah, dia lari masuk bilik. Dia tak duduk luar. Dia bercakap seorang diri. Orang kampung pun tak kenal dia sangat,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini pada Sabtu.
Tambah Marliana, suspek juga pernah mengamuk sebelum ini namun tidak mengganggu orang kampung secara langsung.
Menurutnya, suspek lebih banyak menyendiri dan hanya berinteraksi dengan ahli keluarga terdekat.
Jelas Marliana, suspek pernah mendapatkan rawatan susulan di Hospital Alor Setar, namun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dia tidak lagi hadir ke sesi rawatan dan enggan mengambil ubat.
“Mak yang pergi ambil ubat, tapi dia tak makan. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika Covid-19, dia mula berubah. Sebelum tu, dia baik-baik saja,” katanya lagi.
