Saksi ke-13, iaitu kanak-kanak kelima yang memberi keterangan di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin, memaklumkan hanya seorang pelajar mengeluarkan perkataan kesat namun ia bukan ditujukan kepada Zara Qairina Mahathir pada malam 15 Julai lalu.
Peguam, Azhier Farhan Arisin berkata, saksi tersebut tidak menafikan pada malam berkenaan, Zara Qairina memang dipanggil oleh lima pelajar senior ke dalam bilik dorm.
โSaksi juga tidak nafikan pada malam tersebut ada ungkapan โbodoh’, ‘sialโ yang diungkapkan oleh seorang pelajar, bukan semua. Hanya seorang, tetapi saksi itu menjelaskan ketika ungkapan tersebut dikeluarkan, ia bukan ditujukan kepada arwah Zara.
โKetika ditanya bagaimana kedudukan pelajar tersebut melontarkan kata-kata itu, dia mengatakan ia dilontarkan ketika berdiri di hadapan pintu. Saya tanya adakah berhadapan dengan arwah Zara? Dia kata tidak.
โKemudian apabila ditanya sama ada dalam perjumpaan itu arwah Zara didera, diaibkan, ditindas atau ditertawakan kerana mahu menjadi Badar, saksi menjawab tidak. Dia menafikannya,โ katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Mengulas mengenai kewujudan โGeng Circle 19โ, Azhier berkata, berdasarkan keterangan saksi, kumpulan itu bukanlah dipanggil geng.
โSaya tanya sama ada Circle 19 ini patut dipanggil geng atau kumpulan pelajar? Dia mengatakan ia kumpulan pelajar, bukan geng. Saya tanya sama ada Circle 19 ini terlibat dengan gangsterisme di asrama? Dia menafikan, ia hanyalah sekumpulan pelajar yang melakukan aktiviti bersama-sama untuk program sekolah.
โJadi saya tanya lagi sama ada kumpulan Circle 19 ini terlibat dalam perjumpaan Zara pada malam tersebut? Dia menafikan. Saya bertanya lagi sama ada kumpulan Circle 19 ini terlibat mengepung Zara ketika itu, tetapi dia juga menafikan.
โAdakah kumpulan Circle 19 ini terlibat secara langsung dalam kematian arwah Zara? Dia menafikan, mengatakan tidak,โ katanya.
Menurut Azhier, beliau kemudian meminta saksi membuat kesimpulan terhadap apa yang dialami dan dilihatnya sendiri.
โSaya tanya begini, kesimpulan daripada keterangan kamu, pengalaman adik dan penglihatan adik sendiri, bolehkah kalau abang katakan Zara ini dibuli dan ditindas oleh pelajar B, pelajar C, pelajar D dan pelajar E sehingga membawa kepada kematiannya, dan jawapan saksi adalah tidak.
โIni adalah keterangan daripada saksi tersebut. Kami sebagai peguam bukan untuk putar belit fakta. Kami hanya tanya soalan dan saksi yang menjawab. Terpulang kepada hakim bagaimana dapatan daripada saksi ini ingin diinterpretasi. Itu tugas koroner, bukan tugas kami. Kami tidak membuat pujukan atau putar belit,โ katanya.
