Kota Kinabalu: Pegawai Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Logaraj Ratha, menafikan dakwaan bahawa beliau tidak berjumpa dengan ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir untuk menerangkan mengenai proses bedah siasat mayat arwah pada 17 Julai lalu.

Saksi ketujuh inkues kematian Zara Qairina itu membuat penafian berkenaan apabila peguam ibu arwah, Rizwandean M Borhan menyatakan bahawa ibu arwah Zara, Noraidah Lamat tidak pernah berjumpa beliau.

Pada prosiding hari ini, Dr Logaraj berkata beliau ada berjumpa dengan ibu arwah Zara Qairina dan seorang lagi ahli keluarga arwah, Nur Shira Abdullah ketika di Jabatan Perubatan Forensik HQE pada 17 Julai lalu.

Soalan itu pada awalnya dipertikai Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah, namun Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan jika Dr Logaraj mahu memberikan maklum balas.

Rizwandean turut menyatakan bahawa beliau diarah oleh Puan Noraidah untuk menyatakan bahawa wanita itu tidak diterangkan mengenai kepentingan bedah siasat ke atas mayat Zara Qairina.

Rizwandean: Saya telah diarah oleh Puan Noraidah bahawa doktor tidak pernah jumpa dengan beliau, apa respons doktor?

Dr Logaraj: Saya tidak setuju, saya ada berjumpa dengan Puan Noraidah dan saksi keluarga Puan Nur Shira pada petang itu di Jabatan Perubatan Forensik HQE.

Rizwandean: Saya telah diarahkan oleh Puan Noraidah bahawa doktor tidak pernah menerangkan kepadanya dan disaksikan Puan Nur Shira mengenai keperluan serta kepentingan bedah siasat, boleh doktor respons?

Dr Logaraj: Saya tidak bersetuju, saya memberi penerangan yang lengkap kepada Puan Noraidah dan Puan Nur Shira pada petang itu dan mereka tandatangani borang itu selepas faham akan penerangan saya.

Terdahulu, dalam kenyataan bertulisnya, Dr Logaraj memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau berjumpa dengan ibu kandung Zara Qairina dan kakak iparnya, Nur Shira pada petang 17 Julai lalu.

Pada perjumpaan itu, katanya beliau memaklumkan kepada Noraidah bahawa pihak polis tidak mengeluarkan borang Pol 61 iaitu borang Permintaan Pemeriksaan Mayat, sebelum cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai kematian Zara Qairina.

Katanya, beliau juga menerangkan kepada Noraidah dengan disaksikan Nur Shira mengenai keperluan serta kepentingan bedah siasat.

Beliau berkata Noraidah juga diterangkan walaupun borang Pol 61 iaitu borang Permintaan Pemeriksaan Mayat tidak dikeluarkan oleh pihak polis, proses bedah siasat klinikal masih boleh dijalankan tetapi tertakluk dengan kebenaran waris terdekat.

Bagaimanapun, katanya Noraidah selaku waris si mati membuat keputusan untuk bedah siasat tidak dijalankan ke atas jenazah Zara Qairina, walaupun penerangan telah diberikan.

Sementara itu, Rizwandean turut bertanya sama ada Dr Logaraj tahu bahawa Noraidah ada membuat laporan polis mengenai kes kematian Zara Qairina pada pagi 17 Julai lalu.

Rizwandwan: Adakah doktor tahu sekiranya Puan Noraidah buat laporan polis pada pagi 17 Julai?

Dr Logaraj: Ya, saya tahu tapi ketika itu Puan Noraidah tidak mahu beri kami, pihak forensik laporan tersebut.

Rizwandean: Bagaimana kamu tahu?

Dr Logaraj: Dia (Noraidah) yang beritahu.

Rizwandean: Ada minta salinan?

Dr Logaraj: Ya, tapi dia tidak mahu bagi.