INKUES ZARA QAIRINA: HARI KEEMPAT – BILA FAKTA BERTEMBUNG,

Hari keempat prosiding inkues penuh dengan pendedahan bercampur aduk. Ada cerita doktor kecemasan, ada doktor neurosurgeri, ada simulasi polis. Bila digabung, jelas satu perkara: belum ada kesimpulan muktamad.

SESI PAGI – DOKTOR KECEMASAN

Saksi ketiga, Dr Janefer Voo dari Hospital Queen Elizabeth (HQE), adalah orang pertama rawat Zara sebaik tiba jam 4.38 pagi, 16 Julai [1].

Zara datang dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pemeriksaan awal mendapati kecederaan serius di bahagian kepala dengan pendarahan dan bengkak, disyaki kecederaan otak traumatik. Buku lali kiri retak terbuka, buku lali kanan retak tertutup, manakala pergelangan tangan kiri patah [1].

“Trauma alert” diaktifkan jam 4.42 pagi. Zara diberi rawatan kecemasan mengikut protokol. Tekanan darah sangat rendah hingga menimbulkan kebimbangan pendarahan dalaman.

Penting, doktor sahkan tiada lebam atau tanda penderaan fizikal ditemui pada tubuh, selain kecederaan akibat jatuh [1].

.
SESI TENGAHARI – DOKTOR NEUROSURGERI

Saksi keempat, Dr Pavankumar Balachandran dari wad neurosurgeri HQE, memberi keterangan berhubung rawatan di wad [2][3].

Isu ubat anti-sawan (Phenytoin):
Phenytoin biasanya diberi untuk kes trauma otak, tetapi dalam kes Zara ia tidak diberikan [2].

Dialog dalam mahkamah:

Ram Singh (peguam): Dalam kes kecederaan otak, Phenytoin perlu kan?

Dr Pavankumar: Ya.

Ram Singh: Walaupun pesakit tidak sedarkan diri, macam Zara?

Dr Pavankumar: Ia bergantung pada penilaian awal.

Ram Singh: Berdasarkan penilaian awak, Zara diberi ubat ini atau tidak?

Dr Pavankumar: Tidak.
Ram Singh: Kenapa tidak, sedangkan keadaan dia kritikal dan boleh membawa maut?

Dr Pavankumar: Berdasarkan klinikal dan radiologi, kecederaannya tidak dapat dipulihkan. Ubat anti-sawan tidak akan mengubah hasil [2].

Percanggahan muncul kerana saksi pertama, pakar forensik Dr Jessie Hiu, sebelum ini sahkan kesan Phenytoin ditemui pada tisu buah pinggang Zara ketika bedah siasat [2].

Isu komunikasi dengan keluarga:

Peguam keluarga, Rizwandean M. Borhan, berhujah bahawa ibu Zara menafikan pernah dimaklumkan tentang sebab sebenar kematian.

Dr Pavankumar sebaliknya bertegas beliau ada jelaskan kepada ibu Zara bersama beberapa individu lain, walaupun beliau tidak pasti sama ada mereka saudara atau kenalan [3].

Tahap kesihatan Zara sebelum meninggal:

Glasgow Coma Scale (GCS): E1VTM1, tahap kesedaran paling rendah.

– Anak mata dilated, refleks batang otak tiada.

– Tidak mampu bernafas sendiri maka diintubasi, disambung mesin bantuan pernafasan.

– Prognosis sangat buruk sejak awal.

Zara dimasukkan ke wad jam 6.40 petang, 16 Julai, tanpa tanda pemulihan. Beliau meninggal dunia jam 1.07 tengah hari, 17 Julai. Dr Pavankumar sendiri yang mengesahkan kematian [4].

.
SESI PETANG – SIMULASI POLIS

Saksi kelima, Inspektor Maidon Bernandus dari Jabatan Siasatan Jenayah (D10), hadir membentangkan hasil simulasi [4].

Pada 3 Ogos jam 3 pagi, simulasi dijalankan di lokasi kejadian menggunakan patung seberat 10 kilogram yang dipasang pemberat sehingga 53 kilogram, sama dengan berat Zara.

Dua senario diuji:

1. Jatuh tanpa ditolak.

2. Jatuh dengan tolakan minimum.

Keputusan menunjukkan senario jatuh tanpa tolak paling sepadan dengan posisi Zara ditemui di blok asrama [4].

Rakaman video simulasi ditayangkan di mahkamah, dan patung yang digunakan turut dibawa masuk sebagai bahan bukti [4].

..

KESIMPULAN HARI KEEMPAT INKUES

Doktor kecemasan sahkan tiada tanda dera [1].

Doktor neurosurgeri kata ubat Phenytoin tidak diberi [2], tetapi forensik jumpa dalam tubuh. Doktor juga kata beliau sudah maklumkan kepada ibu mangsa [3], tetapi keluarga nafikan.

Polis pula tunjuk simulasi jatuh tanpa tolak lebih konsisten dengan kedudukan mayat ditemui [4].

Hari ini jelas, inkues bukan jalan lurus. Ada percanggahan, ada versi bertentangan. Semua ini sedang dibongkar di depan hakim.

Jangan jadi hakim di media sosial. Jangan pilih naratif ikut selera hati. Bila kita buat kesimpulan sendiri tanpa tunggu fakta lengkap, kita bukan sekadar menipu diri..kita sedang menutup kebenaran yang cuba dicari.

justiceforzara

-khairulazri-