Kuala Lumpur: Seorang pempengaruh wanita warga Taiwan, berusia 31 tahun ditemui mati dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, di sini, pada 22 Oktober lalu.

Ketika kejadian, penyanyi rap tempatan Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, 42, turut berada dalam bilik sama.

Namewee kemudiannya ditahan selepas polis mengesyaki dia memiliki dan menggunakan dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kes bunuh.

“Dalam laporan sebelum ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR) terhadap wanita warga asing yang ditemui di sebuah hotel, di sini, pada 22 Oktober lalu.

“Kes ini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut kes sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan daripada klasifikasi kes ditukar dari SDR kepada siasatan kes bunuh, Namewee bakal ditahan dalam masa terdekat.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari, 22 Oktober lalu, mangsa Hsieh Yun Hsin, pempengaruh Taiwan, ditemui terbaring dalam tab mandi.