Susulan dikritik teruk oleh netizen berhubung tindakannya menggeledah beg sekolah pelajar tanpa kebenaran, guru yang juga TikToker popular telah menarik balik semua video berkaitan dari akaun media sosialnya.
TikToker yang mempunyai 1.5 juta pengikut itu tidak meninggalkan sebarang video di TikTok, dipercayai terkesan dengan isu dibangkitkan oleh seorang pengguna Twitter mempertikaikan perbuatannya.
Semakan pada tweet yang tular semalam mendapati, salah seorang ibu kepada pelajar yang muncul dalam video guru berkenaan mengesahkan dia telah memberi kebenaran untuk merakam dan memuat naik video yang membabitkan anaknya.
Tetapi, dia tidak membenarkan pihak lain melakukan perkara yang sama. Dia memberi tempoh 12 jam untuk pengadu memadamkan ciapan itu atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
Meskipun ada ibu bapa yang memberi kebenaran kepada guru berkenaan berbuat demikian, netizen pula mempersoalkan. Apakah ibu bapa pelajar yang lain turut memberi kebenaran yang sama kepada guru itu?
Terdahulu, seorang wanita di Twitter mempertikaikan perbuatan guru di sekolah swasta tersebut. Hanya kerana menggeledah beg para pelajarnya dan makan vitamin milik pelajar dirakam dan dimuat naik ke media sosial.
Menurut pengadu, tindakannya itu tidak wajar dilakukan kerana dia tidak mempunyai kebenaran untuk berbuat demikian. Malah pengadu menegaskan, sekolah kerajaan atau swasta kedua-duanya terikat pada peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Rentetan daripada isu geledah beg, netizen juga mempertikaikan perbuatan guru itu yang menjadikan para pelajarnya sebagai konten di media sosial.
Netizen menjelaskan, sebagai seorang guru mereka tidak boleh merakam wajah para pelajar. Apatah lagi dimuat naik ke media sosial kerana ia jelas melanggar hak privasi seseorang.
Walaupun ramai yang memberi kritikan negatif, tidak dinafikan ada juga yang memuji guru berkenaan. Guru wanita itu dilihat begitu akrab dengan para pelajarnya di mana tidak ramai guru yang mampu mendekati pelajarnya seperti itu.