Dua Remaja Diperintah Bayar Pampasan RM1.2 Juta Selepas Insiden “Steamboat Tercemar”
Sebuah restoran steamboat terkenal dikejutkan dengan insiden luar biasa apabila dua remaja lelaki merosakkan hidangan pelanggan dengan tindakan yang sungguh menjijikkan.
Dalam kejadian pada 24 Februari lalu, kedua-duanya dipercayai dalam keadaan mabuk sebelum bertindak merakam perbuatan tidak bermoral itu.
Menurut keterangan kes, rakaman video menunjukkan seorang daripada remaja berusia 17 tahun memanjat meja di sebuah bilik makan peribadi dan membuang air kecil terus ke dalam periuk sup panas yang menjadi hidangan utama “hot pot” atau steamboat.
Aksi itu dirakam rakannya dan kemudian tular di media sosial, mencetuskan kemarahan netizen yang menuntut keadilan serta tindakan tegas.
Walaupun tiada pelanggan sempat menjamah hidangan tercemar tersebut, pihak restoran tetap mengambil langkah bertanggungjawab. Mereka segera mengganti semua peralatan makan dan memberi pampasan kepada lebih 4,000 pelanggan bagi memulihkan reputasi.
Malah, restoran itu turut mengeluarkan permohonan maaf terbuka di media sosial, menegaskan semua peralatan baharu digunakan sepenuhnya bagi menjamin keselamatan makanan.
Saman Sivil dan Tuntutan Ganti Rugi Besar
Tidak berpuas hati dengan sekadar permohonan maaf, pihak restoran memfailkan saman sivil terhadap kedua-dua remaja terbabit bersama ibu bapa mereka pada 14 Mac. Restoran menuntut ganti rugi lebih RM13.5 juta bagi kerosakan harta, kerugian operasi dan kerosakan reputasi.
Mahkamah akhirnya memutuskan kedua-dua remaja dan ibu bapa mereka bertanggungjawab secara bersama untuk membayar pampasan besar sebanyak RM1.2 juta.
Jumlah itu merangkumi kira-kira RM79,000 bagi kerosakan peralatan dan kos pembersihan, RM1.1 juta untuk kerugian operasi serta reputasi, dan tambahan RM42,000 sebagai kos guaman.
Keputusan ini menjadi pengajaran besar kepada golongan muda tentang akibat tingkah laku melampau, khususnya apabila ia menjejaskan kesihatan awam dan perniagaan orang lain.
Insiden ini berlaku di Shanghai, China. Nilai pampasan asal ialah 2.2 juta yuan, bersamaan kira-kira RM1.2 juta apabila ditukar ke mata wang ringgit.