ALOR SETAR – Seorang wanita tidak menyangka masih bermadu dengan kakak kandungnya sendiri selama lebih 10 tahun selepas ditipu bulat-bulat oleh suami yang kononnya telah menceraikan isteri pertama untuk menghalalkan hubungan mereka.

Lelaki hidung belang terbabit licik apabila mengambil kesempatan di sebalik keretakan hubungan dalam keluarga dua beradik perempuan itu sehingga mereka tidak lagi bersua muka.

Mendedahkan perkara itu, peguam syarie, Noor Syaheedatul Aishah berkata, kes tersebut difailkan seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang memiliki tiga orang anak dari sebuah daerah di negeri ini melalui pihaknya, dua tahun lalu.

Menurutnya, wanita terbabit meragui statusnya sebagai isteri yang sah selepas mengetahui suaminya berusia 60-an dan kakak berumur 50-an sebenarnya tidak pernah bercerai..

“Rahsia itu terbongkar selepas lebih 10 tahun berkahwin menyebabkan wanita itu memohon faraq nikah atas alasan berlakunya perbuatan menghimpunkan dua saudara perempuan dalam satu tempoh perkahwinan.

“Kes ini didengar dan diputuskan di bawah Seksyen 13(3)(b)(i) Enakmen Mahkamah Syariah Negeri Kedah 2008 dibaca bersama Sesyen 18(2)(b) enakmen yang sama,” katanya daripada Tetuan Syaheedah Aishah and Associates ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, semasa prosiding di mahkamah, lelaki terbabit hadir bersama isteri pertama dan dia mengakui tidak pernah melafazkan cerai dan mendaftarkan perceraian di mana-mana pejabat agama Islam di negara ini.

Menurutnya, semasa prosiding di mahkamah, lelaki terbabit hadir bersama isteri pertama dan dia mengakui tidak pernah melafazkan cerai dan mendaftarkan perceraian di mana-mana pejabat agama Islam di negara ini.

“Mahkamah seterusnya memutuskan perkahwinan mereka (dengan isteri kedua) tidak sah dan mengarahkan pernikahan pasangan tersebut dibubarkan serta-merta.