KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan agensi bawah seliaannya mematuhi undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan dalam meluluskan permohonan kewarganegaraan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata isu yang timbul kini melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan badan induk bola sepak dunia itu, dan perlu diselesaikan oleh mereka.
“Bagi syarat Fifa seseorang nak bermain dengan sebuah negara, pertama mereka kena lahir di negara tersebut, kedua ibu atau bapa pemain dilahir di negara tersebut.
“Ketiga, datuk dan nenek pemain dilahir di negara tersebut, maknanya lahir di Malaysia, keempat pemain hidup secara berterusan di Malaysia. Jadi, mana-mana syarat itu dipatuhi maka pemain itu layak mewakili negara yang berdaftar dengan Fifa.
“Jadi, isu itu urusan Fifa dengan FAM, biar mereka selesaikan,” katanya menerusi sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Saifuddin menjelaskan, syarat KDN dalam memberikan kewarganegaraan kepada pemain naturalisasi adalah tertakluk kepada Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan yang mana pemohon perlu memenuhi ‘tiga rukun’ termasuk bermastautin.
“Itu juga bukan hanya untuk pemain bola. Ada juga pemain lain termasuk gimnastik, menembak, jalan kaki. Selain Perkara 19, dalam perlembagaan ada satu Seksyen 20(1)(e) di mana menteri boleh guna kuasa budi bicaranya.
“Jadi, syarat kena bermastautin kalau pemohon berada di luar (negara) pun boleh dianggap bermastautin, begitu bahasa perundangannya. Soal bahasa Melayu ia mencukupi dan memadai kalau kita cakap dia faham,” katanya.
