Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya telah melepasi syarat kewarganegaraan Malaysia.

Perkara ini ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail apabila diminta mengulas isu FAM dikenakan hukuman oleh FIFA berhubung status dokumentasi tujuh pemain itu.

Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain warisan negara dikenakan hukuman oleh FIFA atas alasan mengemukakan dokumen palsu.

Tujuh pemain tersebut ialah Hector Hevel, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Imanol Machuca dan Jon Irazabal.

Apabila ditanya tentang perkara tersebut, Saifuddin memaklumkan hal ehwal kerakyatan Malaysia terletak di bawah bidang kuasa KDN.

Beliau turut menyatakan proses naturalisasi tujuh pemain tersebut dibuat secara teliti dengan setiap permohonan disemak dengan rapi.

โ€œProsesnya teliti. Jawatankuasa yang dipengerusikan ketua setiausaha akan menyemak setiap permohonan yang dibuat secara rapi,โ€ katanya.

โ€œKita teliti semua dokumen yang dihantar seperti yang disyaratkan undang-undang, dan bagi kes ini, semua prosedur (naturalisasi) dipatuhi sepenuhnya.โ€

Dalam laporan siasatan penuh yang dikeluarkan oleh FIFA malam tadi mendedahkan bagaimana tujuh pemain naturalisasi Malaysia menggunakan dokumen kelahiran yang dipalsukan bagi melayakkan diri bermain untuk skuad Harimau Malaya.

Dalam laporan rasmi bertarikh 6 Oktober itu, FIFA menyatakan bahawa hasil semakan mendalam menunjukkan sijil lahir asal tujuh pemain terbabit sebenarnya dikeluarkan di luar negara seperti Sepanyol, Argentina, Brazil, Sepanyol dan Belanda, bukannya di Malaysia seperti yang dilaporkan oleh FAM.