SEPANG: Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, iaitu isteri penyanyi dan usahawan, Ahmad Nubhan Ahamad, 39, mendakwa berlaku dua lafaz cerai dalam perkahwinan mereka.

Akberdin berkata, Nubhan melafazkan cerai kali pertama pada 2017 sebelum kembali rujuk tidak lama selepas itu, manakala perceraian kedua berlaku pada Ogos lalu.

“Hari ini sebutan pertama bagi permohonan plaintif, iaitu suami kepada anak guam saya, untuk pengesahan dua lafaz cerai dan satu rujuk.

“Difahamkan, pada 2017, berlaku satu lafaz cerai dan pasangan itu rujuk semula dalam tempoh idah, Namun, kedua-dua lafaz dan rujuk itu tidak didaftarkan di mahkamah.

“Permohonan hari ini difailkan bagi pengesahan kedua-dua talak itu. Hakim akan menentukan sama ada kedua-duanya akan didengar sekali. Jika disahkan, ia akan dikira sebagai talak dua,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.

Akberdin turut memaklumkan bahawa prosiding turut meneliti aspek niat, kewarasan dan unsur paksaan atau ugutan ketika lafaz cerai dibuat.

“Kita tunggu keputusan mahkamah, namun, mengikut prosedur, suami perlu membayar denda sekiranya lafaz dilakukan di luar mahkamah,” katanya.

Mengulas lanjut, Akberdin mengesahkan pihak defendan menghantar surat tawaran perceraian kepada anak guamnya selepas kejadian itu, namun, perkara berkenaan tidak diteruskan.

“Memang benar ada surat tawaran dibuat dan kami sudah membalasnya. Tetapi, selepas itu, perkara itu senyap dan tidak diteruskan,” katanya.

Terdahulu, pasangan berkenaan hadir ke mahkamah secara berasingan.

Nubhan yang tampil segak dengan sut kelabu tiba kira-kira jam 9.40 pagi, sementara Dr Afifah tiba lima minit kemudian memakai baju kurung putih, ditemani ahli keluarganya.

Ketika ditanya media, penyanyi Ada Untukmu itu enggan mengulas lanjut mengenai kes berkenaan.

“Saya harap yang terbaik. Buat masa ini saya tak boleh beri sebarang komen, kita tunggu selepas prosiding,” katanya ringkas.

Nubhan dan Dr Afifah yang juga doktor gigi, mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.

Perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8; Ahmad Aaffan, 6; dan Afzan Nayille, 3