PENGGGUNAAN gajet di usia kanak-kanak ternyata memberi pelbagai kesan sampingan termasuk mengakibatkan masalah juling kronik.
Berdepan dengan situasi tersebut, Nurul Afeizah berkata, dia sama sekali tidak menyangka anak sulungnya yang baru berumur lima tahun akan mengalami masalah akibat penggunaan telefon bimbit.
Menurutnya, Luth Harraz Mohamad Fazrin sudah didedahkan dengan gajet seawal usianya dua tahun.
Mata Luth Harraz normal sejak dilahirkan.
Bercerita tentang keadaan anaknya itu, dia pada awalnya menyangka Luth hanya bergurau dengan membuat mata juling.
“Bermula tahun lepas lagi, tapi saya tak perasan yang matanya juling kerana menyangkakan Luth hanya bermain. Pada masa itu, memang selalu marah dia sebab buat mata juling.
“Disebabkan selalu dimarah, dia jadi stres dan nyatakan ia bukan sengaja dilakukan sebaliknya memang mata seperti itu.
“Semasa balik ke rumah nenek dia pun, ramai yang tegur tentang matanya sebab nampak juling. Sebagai ibu, saya rasa tak selesa apabila ramai yang tegur mata anak seperti itu.
“Mula tahun ini, apabila dia kembali bersekolah… mungkin banyak fokus guna mata kerana banyak menulis dan sebagainya, julingnya menjadi semakin teruk sehinggakan mata hitam boleh hilang di sebalik pangkal hidung,” luahnya yang kemudian meneruskan rawatan mata untuk Luth.
Menurutnya yang juga penghidap kanser, dia tidak mahu anaknya berdepan dengan masalah kesihatan atau perkara memudaratkan apabila sudah dewasa.
Bayangkan apabila dia masuk sekolah, mesti rakan-rakan akan mengejek mata juling kepadanya.
“Doktor pun ada menyatakan bahawa jika tidak dirawat dari awal, matanya akan kekal juling.
“Jadi, rawatan bermula awal Januari lalu. Disebabkan Ipoh tidak mempunyai pakar mata bagi kes juling, kes berkaitan Luth dirujuk pada Kuala Lumpur sehingga mendapat pengesahan untuk melakukan pembedahan.
“Walaupun dimaklumkan bahawa ia tidak akan pulih 100 peratus seperti asal, namun saya bersyukur yang mata Luth masih boleh dirawat.
Tapi Luth perlu sentiasa memakai cermin mata untuk menonton televisyen mahupun belajar untuk tempoh tiga tahun,” jelasnya yang mempunyai tiga orang anak.
Enggan nasib sama menimpa kanak-kanak lain, Afeizah meminta ibu bapa supaya tidak mempunyai sikap penting diri seperti yang pernah dilakukannya kepada Luth.
Malah katanya, sikap yang diamalkan itu tidak memberi kesenangan pada dirinya sebaliknya hanya memudaratkan anak-anak.
Pemakaian cermin mata penting untuk menonton televisyen mahupun belajar selama tiga tahun.
“Bila saya kongsikan kisah berkenaan Luth di media sosial, rupanya ramai ibu bapa yang menyatakan perkara sama berlaku terhadap anak mereka… jadi saya rasa, ibu bapa tidak sepatutnya penting diri kerana anak akan menjadi mangsa.
“Saya harap ibu bapa yang lain boleh ambil pengajaran dengan apa yang berlaku pada saya dan anak.
“Biar anak nak nakal atau menyepahkan rumah, yang penting tidak memudaratkan.
Sebelum ini saya bimbang rumah bersepah dan perkara buruk kepadanya jadi memilih untuk memberi gajet kepada anak… iyalah, apabila dia main telefon, saya tidak perlu menjerit marah dia serta tidak penat,” katanya lagi.
Afeizah juga berharap anak-anak diberikan gajet pada usia yang sesuai bagi mengelakkan mereka ketinggalan zaman berikutan era sekarang menggunakan teknologi.
mStar