Aku Ceraikan Isteri Pertama Kerana Sangka Dia Curang, Rupanya Bersama Isteri Kedua Juga Semua Anak-Anak Tiada DNA Sama Denganku
Bayangkan sebuah kehidupan rumah tangga yang kelihatan sempurna—bersama isteri tercinta, membesarkan anak-anak dalam suasana penuh kasih dan tawa.
Tapi semua kebahagiaan itu musnah sekelip mata, bila satu rahsia mengejutkan terbongkar: anak-anak yang disayangi selama ini… rupanya bukan anak kandung sendiri.
Lebih membingungkan, puncanya bukan kerana kecurangan si isteri. Tiada skandal. Tiada orang ketiga. Tapi keputusan ujian DNA berkata sebaliknya.
Inilah kisah pelik dan menyayat hati yang dikongsikan oleh Dr. Christabel Akinola, seorang pakar perubatan, di akaun Instagram miliknya.
Menurutnya, lelaki ini menjalani kehidupan yang bahagia bersama isterinya dan empat orang anak. Tiada petanda mencurigakan. Namun, semuanya berubah selepas seorang anak mereka jatuh sakit dan memerlukan pendermaan darah.
Si ayah, tanpa ragu, menawarkan diri untuk membantu. Tapi keputusan ujian darah menunjukkan sesuatu yang tak masuk akal—jenis darah mereka langsung tidak sepadan.
Rasa curiga mula bercambah. Lalu dia nekad membuat ujian DNA untuk kesemua anaknya. Dan di sinilah semuanya terbongkar—keempat-empat anak itu tiada sebarang kaitan genetik dengannya.
Walaupun si isteri berkeras mengatakan dia tak pernah curang, malah bersumpah setia sejak awal perkahwinan, si suami tetap dilanda rasa dikhianati. Luka yang terlalu dalam itu akhirnya membawa kepada penceraian.
Enam tahun berlalu. Lelaki itu akhirnya membuka lembaran baru. Dia berkahwin semula dan dikurniakan seorang bayi lelaki.
Namun kisah silamnya terus menghantui. Diam-diam, dia sekali lagi menjalankan ujian DNA. Hatinya berdebar.
Dan keputusan kali ini jauh lebih mengejutkan—anak itu juga tiada pertalian genetik dengannya.
Dua perkahwinan. Lima orang anak. Dan tiada satu pun berkongsi DNAnya? Mustahil. Atau mungkinkah ada sesuatu yang lebih pelik sedang berlaku?
Segalanya terjawab apabila dia bertemu dengan pakar genetik. Menurut penjelasan Dr. Christabel Akinola, lelaki ini bukan mangsa kecurangan… sebaliknya mangsa satu fenomena genetik yang sangat jarang berlaku, dipanggil Chimerism atau “Kembar Chimera”.
Apa itu? Ketika masih dalam rahim ibunya, dia sebenarnya kembar dua. Tapi di peringkat awal kehamilan, embrio kembarnya diserap masuk ke dalam tubuhnya.
Akibatnya, dia membesar dengan dua set DNA dalam satu badan—DNAnya sendiri dan DNA kembarnya yang telah ‘hilang’.
Dan tanpa disedari, DNA kembar itulah yang diturunkan kepada semua anak-anaknya. Bukan DNA dirinya yang dominan. Dalam erti kata lain, anak-anak itu masih anak kandung, cuma secara saintifik, mereka mewarisi genetik dari ‘saudara kembar’ yang tidak pernah dilahirkan.
Fenomena luar biasa ini boleh berlaku kepada lelaki mahupun wanita, dan hanya boleh dikesan melalui ujian genetik mendalam.