Kuala Lumpur: Bekas penyanyi kumpulan Pearl, Mohd Amir Esa parah apabila motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) berhampiran pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya, semalam.
Kemalangan itu mengakibatkan Amir patah lapan bahagian di tulang rusuk kanan, retak tulang bahu, retak kecil di bahagian leher dan sedikit pendarahan di otak.
Pengurus artis, Aalan Ahmad berkata, Amir yang menunggang motosikal sendirian tidak dapat dipastikan sama ada menjadi mangsa langgar lari atau jatuh sendiri.
“Saya dihubungi anaknya yang memaklumkan kejadian menimpa bapanya itu,” katanya.
Aalan berkata, ketika kejadian Amir yang tinggal di Cyberjaya keluar untuk mengambil barang di IOI City Mall sebelum mahu pulang ke rumah.
“Kemalangan berlaku semasa dia menunggang berhampiran susur keluar SKVE. Agak sukar untuk kenal pasti kejadian sebenar kerana tiada saksi.
“Orang awam jumpa dia dalam keadaan terbaring sebelum dikejarkan ke Hospital Serdang,” katanya.
Amir bersama Pearl aktif di industri muzik tanah air pada 1996. Mereka menempa nama menerusi lagu popular Aku Tidak Bersalah.
[redirect url=’https://shope.ee/7f3lcdHpqy’ sec=’3′]