Tiada apa yang lebih menyesakkan jiwa seorang ibu melainkan kehilangan anak kecil di depan mata sendiri, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku hanya dalam beberapa minit yang tidak disangka.

Begitulah kisah pilu yang dikongsi oleh seorang ibu muda yang kini terpaksa menanggung trauma seumur hidup — selepas anak tunggalnya maut akibat tertelan kasut kecil milik anak patung mainan.


“Saya Baru Nak Bersihkan Diri Sekejap Saja…”

Insiden yang berlaku sebulan lalu itu masih menghantuinya. Ketika itu, suaminya tiada di rumah kerana bekerja, dan dia hanya tinggal berdua bersama si kecil berusia bawah lima tahun.

“Sejak pagi saya sibuk urus rumah. Bila anak leka bermain anak patung, saya fikir itu masa sesuai untuk cepat-cepat mandi. Saya tinggal pintu bilik air terbuka… sambil cakap dengan dia dari jauh,” tulisnya dalam satu perkongsian.

Namun suasana bertukar sunyi secara tiba-tiba. Bila dia memanggil semula anaknya, tiada sahutan.

“Saya terus keluar bilik air dalam keadaan basah dan hati berdebar. Dan bila saya nampak tubuh kecil anak saya terbaring tanpa sedar… dunia saya gelap.”


Kasut Anak Patung ‘Kecil’ Tapi Padahnya Besar

Pasukan perubatan yang tiba hanya mampu mengesahkan anak itu sudah tiada. Hasil autopsi menunjukkan saluran pernafasan anak tersumbat oleh sebutir kasut kecil plastik — sebahagian aksesori patung mainan.

“Saya tak tahu macam mana dia boleh tertelan. Dia selalu main patung tu… saya tak sangka langsung ia boleh jadi sebab nyawanya diragut.”


Rumah Tangga Mula Retak, Trauma Tak Sembuh

Sejak kejadian itu, hubungan suami isteri mula renggang. Dia mula dihantui rasa bersalah dan kemurungan, sementara suaminya pula sukar menerima kenyataan.

“Saya rasa saya gagal. Saya cuma mandi. Itu saja. Tapi itulah masa yang Tuhan ambil dia daripada saya. Rumah tangga kami pun tak kekal lepas tu. Kami akhirnya berpisah.”


Mainan Kecil, Nyawa Besar

Kejadian ini menjadi amaran kepada semua ibu bapa. Kanak-kanak bawah lima tahun cenderung memasukkan apa saja ke mulut. Tanpa pengawasan yang betul, benda sekecil aksesori mainan boleh meragut nyawa yang sangat berharga.

Dia kini masih hidup dengan trauma dan kenangan. Namun dia berharap kisah ini dijadikan pengajaran agar tiada ibu lain yang akan menangis di sisi tubuh kecil anak yang sudah kaku.

“Saya tulis bukan sebab nak perhatian. Tapi kalau satu saja nyawa budak lain boleh selamat sebab orang baca cerita saya, itu cukup buat saya rasa sedikit lega…”


KREDIT: FB Anupama Rajan
Gambar sekadar hiasan