SUNGAI PETANI: Sepasang kekasih yang ditahan berkhalwat di sebuah hotel di Gurun memberi alasan dalam proses berkahwin ketika Op Cegah Maksiat di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, alasan itu tidak diterima sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM) dan menahan pasangan berkenaan pada jam 11.59 malam.

Terdahulu, pasangan berusia 35 tahun itu mendakwa sudah bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinan dalam tempoh terdekat.

Namun, kedua-duanya gagal menunjukkan sebarang bukti atau mempunyai hubungan suami isteri atau mahram ketika disoal siasat anggota penguat kuasa.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail, berkata hasil pemeriksaan mendapati kedua-duanya mengaku sudah bertunang setahun lalu dan merancang bernikah selepas simpanan kewangan mereka mencukupi sebelum hujung tahun nanti.

Katanya, lelaki itu dikatakan bekerja di sebuah pelantar minyak dan kini sedang bercuti, manakala pasangannya pula seorang penjawat awam.

Operasi dilakukan PADK dibantu beberapa pasukan penguat kuasa agama dari daerah lain, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu membabitkan lokasi panas yang sudah pun dikenal pasti.

Semua yang ditahan dibawa ke IPD Kuala Muda untuk laporan tangkapan dan tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.