KUALA LUMPUR: “Dia pernah beberapa kali gagal dalam perkahwinan,” kata sumber Harian Metro mengenai identiti penyanyi wanita yang ditangkap khalwat bersama lelaki berstatus suami orang.
Sumber mendakwa, penyanyi itu juga sudah memiliki cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu.
“Dia turut mempunyai anak,” katanya.
Sumber mengesahkan, penyanyi itu adalah bekas peserta program realiti popular yang disiarkan pada 2010.
Kelmarin, laman sembang kecoh apabila berita seorang penyanyi yang juga bekas peserta program realiti didakwa ditangkap khalwat bersama kekasih berstatus suami orang di rumah sewa, kira-kira jam 2 petang.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) enggan mendedahkan identiti penyanyi terbabit.
Pegawai Perhubungan Awam JAIS berkata, keputusan dibuat bagi menjaga aib individu berkenaan, selain siasatan masih lagi dijalankan.
“JAIS mengesahkan tangkapan khalwat berlaku membabitkan selebriti, namun kami tidak akan mendedahkan maklumat peribadi individu yang ditangkap,” katanya.
