Kes Zara Qairina: Punca Kematian ‘Fall’, Bukan Disahkan Terjun Sendiri – Polis Tegas Tunggu Inkues
Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi menegaskan bahawa punca kematian adik Zara Qairina binti Mahathir, 13, setakat ini adalah akibat kecederaan parah di kepala berpunca daripada jatuh (fall), dan bukan disahkan sebagai “terjun sendiri” seperti yang tular di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menjelaskan, dalam sidang media semalam, beliau menyebut perkataan “terjun” sebanyak dua kali, tetapi setiap kali ia disebut, perkataan ‘jatuh’ atau ‘fall’ turut dinyatakan dalam ayat yang sama.
“Cause of death kita dah tahu. Cause of death, injury ini due to a fall. Apa yang mengakibatkan adik Zara ini terjun? What happened sebelum? Jadi untuk memberi pencerahan, untuk mendapat kebenaran terhadap persoalan-persoalan ini, maka inkues perlu dibuat,” katanya pada minit 20:51 sidang media.
Kali kedua, pada minit 26:15 beliau mengulangi:
“Maksud dia jatuh ke terjun. We don’t know. That’s why inkues… diagnose tu death due to a fall. Injury sustained death due to a fall.”
Jelasnya, polis tidak pernah menyimpulkan bahawa Zara terjun sendiri. Sebaliknya, penyebab sebenar mengapa mangsa jatuh atau terjatuh masih dalam siasatan.
Kronologi Kejadian
- 16 Julai 2025 (±8:16 pagi) – Guru di Asrama SMKA Tun Dato’ Mustafa, Papar, Sabah membuat laporan polis selepas Zara ditemui tidak sedarkan diri.
- Mangsa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth dan disahkan meninggal pada 17 Julai (±1:07 petang).
- Punca awal kematian: Severe traumatic brain injury with hypoxic ischemic encephalopathy.
Siasatan Awal & Kelemahan Prosedur
- Satu pasukan khas (task force) dari Bukit Aman dihantar ke Sabah pada 11 Ogos.
- Penemuan awal menunjukkan pegawai penyiasat gagal memohon bedah siasat pada insiden pertama – melanggar prosedur.
- Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai penyiasat dan ketua bahagian terlibat.
Isu Post-Mortem
- Bedah siasat pertama tidak dijalankan atas permintaan ibu mangsa, yang menandatangani Surat Akuan Enggan Bedah Siasat bersama doktor, pakar patologi dan pegawai penyiasat.
- Bedah siasat kedua dijalankan pada 10 Ogos di Hospital Queen Elizabeth, dihadiri tiga doktor (1 Hospital Serdang, 2 Hospital Queen Elizabeth). Keputusannya sama seperti diagnosis awal.
Keputusan Adakan Inkues
- Pada 12 Ogos, hasil perbincangan pelbagai agensi memutuskan inkues perlu diadakan.
- Sebab: Punca kematian (fall) sudah jelas, tetapi sebab Zara jatuh/terjatuh masih belum terjawab.
- Inkues akan menentukan kronologi penuh dan punca sebenar kejadian.
Fokus Siasatan Polis
- Inkues – Menjawab persoalan kronologi & penyebab kejadian.
- Elemen jenayah – Termasuk kemungkinan kes buli.
Berita Palsu & Tindakan Undang-Undang
- Polis mengesahkan wujud penyebaran berita palsu termasuk dakwaan mangsa dimasukkan ke mesin basuh.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan & Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
- Seorang wanita berusia 39 tahun sudah ditahan.
- 15 kertas siasatan dibuka setakat ini berhubung berita palsu yang mengganggu siasatan dan ketenteraman awam.
Elemen Buli
- Petunjuk awal menunjukkan kemungkinan wujud kes buli sebelum kejadian.
- Bermula 11 Julai 2025, Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan digunakan untuk kesalahan buli – hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Langkah Pemulihan
- 124 pelajar sekolah yang terkesan diberi intervensi psikologi oleh pegawai D11 dan pakar psikiatri.
Status Siasatan Terkini
- 82 percakapan telah dirakam, termasuk beberapa individu dipanggil semula.
- Kertas siasatan dirujuk dua kali kepada Jabatan Peguam Negara.
- Inkues akan diadakan dalam masa terdekat.
- Siasatan elemen jenayah masih berjalan.
- Polis menegaskan tiada cover-up dan dakwaan penglibatan VVIP adalah tidak benar.
Penjelasan Isu ‘Mandi Jenazah’
- Polis tidak pasti maksud dakwaan kecederaan hanya disedari ketika proses memandikan jenazah.
- Selepas post-mortem kedua, semua kecederaan telah dijelaskan kepada ibu mangsa, dihadiri peguam keluarga yang mengesahkan proses telus tanpa campur tangan pihak luar.
Kesimpulan:
Setakat ini, penyebab kematian Zara adalah akibat jatuh, tetapi cara jatuh itu berlaku – sama ada terjatuh, ditolak, atau terjun – belum dapat dipastikan. Semua pihak diminta menunggu dapatan inkues dan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.