PASIR MAS: “Anak saya ditembak di depan mata isterinya. Saya terkaku menerima panggilan daripada menantu memaklumkan anak kritikal akibat tembakan dipercayai lapan kali di badannya termasuk di dada dan dia gagal diselamatkan kerana tembakan mengenai organ pentingnya,” kata Zaiton Abdul Rahman, 64.
Zaiton adalah ibu kepada mangsa tembakan, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok, Thailand pada jam 9 malam tadi, selepas ditembak individu dikenali di rumahnya di Golok, Thailand, pada jam 6.40 petang semalam.
Zaiton berkata, menantunya Wan Fatihah Mat Husin, 35, menangis ketika menghubunginya malam tadi memaklumkan kejadian menimpa suaminya, Mohd Fuad Fahmie yang juga anak keempat daripada enam beradik itu dan kemudian gagal diselamatkan.
“Malam tadi menantu menelefon saya sambil menangis memaklumkan Mohd Fuad Fahmie ditembak di depan matanya oleh individu yang mereka kenali.
Disyorkan
“Dia terkena lapan das tembakan termasuk di dada hingga gagal diselamatkan kerana tembakan itu mengenai organ pentingnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kepas Apam di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zaiton berkata, individu yang menyerang anaknya itu memang dikenali anak dan menantunya.
“Kejadian berlaku di rumah anak saya di Golok, Thailand apabila suspek datang menyerang sebelum melepaskan tembakan ke arahnya.
“Beberapa bulan lalu, kediaman anak saya sudah diberi tembakan amaran dipercayai dilakukan individu sama kerana tidak berpuas hati dengan anak saya.
“Arwah pernah bercerita mengenai suspek sebelum ini yang tidak puas hati terhadapnya. Ada yang mengaitkan masalah hutang, namun anak saya tidak berhutang dengan suspek, sebaliknya suspek menipu duit menantu saya sebanyak RM2,000 namun anak saya sudah menghalalkan wang berkenaan.
“Bagaimanapun, masih timbul isu tidak puas hati itu antara mereka. Anak dan menantu saya berniaga beg secara dalam talian, selain menjual batu permata,” katanya.
BH pagi ini melaporkan Mohd Fuad Fahmie yang parah selepas ditembak seorang lelaki sejurus berlaku pertengkaran dipercayai membabitkan isu hutang pada jam 6.40 petang semalam, dibawa ke Hospital Sungai Golok untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sejam selepas dirawat dan suspek yang terbabit dalam kejadian itu dikatakan melarikan diri dengan meninggalkan sepucuk pistol di lokasi kejadian.
