PUTRAJAYA – Seorang bekas peniaga ayam dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Rayuan pada Selasa kerana membunuh seorang ibu tunggal yang menolak lamarannya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azmi Ariffin, Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk mengenakan hukuman mati ke atas Mohd Nur Hussein Mohd Salleh.

Sehubungan itu, mahkamah membatalkan hukuman terdahulu Mahkamah Tinggi iaitu 38 tahun penjara dan 20 sebatan.

Noorin berkata, mahkamah mendapati Mohd Nur Hussein telah merancang dengan teliti pembunuhan wanita itu semata-mata kerana dia bertepuk sebelah tangan atau cintanya tidak berbalas.

Menurutnya, Mohd Nur Hussein telah melakukan perbuatan kejam, menyatakan bahawa kecederaan mangsa adalah konsisten dengan kecederaan akibat penyembelihan dan terdapat bukti menunjukkan dia juga cuba membakar bilik mayat wanita itu ditemui.

Hakim berkata, Mohd Nur Hussein juga telah merancang untuk mengelak daripada disyaki dengan pergi ke kafe siber untuk log masuk dan keluar semasa jenayah itu namun beberapa saksi memberikan keterangan bahawa mereka melihatnya berhampiran rumah mangsa semasa kejadian.

“Perayu telah memasuki rumah mangsa pada awal pagi dan menikamnya sebanyak lapan kali sehingga menyebabkan urat pada lehernya putus.

“Ini menunjukkan secara terang-terangan tidak menghiraukan nyawa manusia. Kami bersetuju bahawa tidak ada penyesalan di pihak perayu kerana melakukan jenayah sedemikian. Selain itu, dia mengambil barang berharga milik mangsa dan anak mangsa serta menyembunyikannya,” katanya.