Aku tak tahu sejak bila hati aku mula berubah. Mungkin sejak dia mula berubah, atau mungkin aku yang mula sedar, aku dah tak bahagia lagi.
Aku cuba bertahan. Aku cuba faham. Aku cuba sabar. Tapi semakin hari, aku rasa macam aku hidup untuk orang lain, bukan untuk diri sendiri.
Dia ada perubahan, Alhamdulillah. Tapi cuma sekejap. Selepas tu, dia kembali jadi dia yang dulu. Masih kasar, masih suka maki, masih biarkan aku uruskan segalanya sendiri.
Aku tegur pun, aku yang kena marah. Contohnya bila aku minta dia mandi dulu sebelum berehat lepas balik kerja.
“Aku baru balik kerja, nak rehat pun tak boleh ke?!” Dia menengking aku macam aku ni bukan isteri dia, macam aku ni musuh dalam rumah sendiri.
Aku tegur sebab aku tahu, kalau dia tak mandi terus, dia akan tertidur sambil main telefon sampai pagi. Kami tak solat. Aku tahu semua ni salah. Tapi aku dah letih menegur.
Aku cuma nak bahagia. Aku cuma nak rasa aku ada suami yang sayang aku. Aku nak bermanja, nak peluk dia, nak dia layan aku seperti seorang isteri.
Tapi bila aku luahkan, dia balas sinis. “Busuk sangat ke aku ni?”
Ya, bau rokok dia kuat sangat. Dia perokok tegar, dia hisap vape, dia minum ketum. Bukan beli dari orang, tapi masak sendiri di rumah.
Dia pernah janji nak berhenti. Tapi janji tinggal janji. Bila aku tegur, aku pula kena maki. Lama-lama, aku dah penat.
Aku dah tak peduli kalau dia balik kerja tak mandi. Aku dah tak kisah kalau dia tak bercakap dengan aku. Aku sendiri tak tahu apa yang aku rasa untuk dia sekarang.
Sampailah satu hari, aku buat dosa. Aku contact balik ex aku waktu belajar dulu.
Aku tak tahu kenapa, terlalu pantas perasaan sayang itu muncul.
Dia yang mula dulu, tanya dah sayang dia belum, dah rindu dia belum. Dan aku, hati yang rapuh, yang dah lama hauskan kasih sayang, cepat sangat jatuh sayang.
Aku suka tengok cara dia layan isteri dan anak-anak dia. Dia selalu post gambar mereka di media sosial, penuh kasih sayang.
Tapi dalam masa yang sama, dia juga sentiasa chat aku. Dia buat aku ketawa, dia buat aku lupa sekejap yang aku sebenarnya masih seorang isteri.
Aku pernah tanya dia, “Macam mana kau boleh sayang aku, sedangkan kau nampak bahagia dengan isteri kau?”
Dia jawab, “Aku sendiri tak tahu. Tapi aku sayangkan kau.”
Antara percaya dan tidak, aku tetap bahagia bila dia ada. Sampai satu tahap, aku cemburu.
Bila dia bercuti dengan isteri, bila dia post gambar mereka bersama, aku terasa.
Tapi aku ni siapa? Aku cuma seorang perempuan yang dia simpan dalam senyap.
Aku selalu stalk isteri dia. Aku rasa kesian. Dia dapat suami yang romantik, yang dia fikir setia.
Rupanya suami dia main cinta dengan aku di belakang.
Sedangkan aku? Aku dapat suami yang bengis, yang suka maki. Tapi dia bukan kaki perempuan.
Macam ni ke kehidupan? Macam ni ke takdir aku?
Aku cuba cari jalan keluar. Aku cuba solat. Aku pergi majlis agama. Aku duduk dalam masjid, dengar ceramah, cari ketenangan.
Tapi jiwa aku tetap kosong. Aku tahu aku kena berhenti. Aku kena tinggalkan ex aku sebelum dia tinggalkan aku.
Sebab aku tahu, lambat laun, dia akan pergi juga. Aku dah hilang suami yang aku sayang dulu. Aku tak nak hilang diri aku sendiri.
Aku dah buat keputusan. Aku nak cuba perbaiki semula hubungan aku dengan suami.
Aku dah book hotel hujung minggu ni. Aku nak bawa anak jalan-jalan, dalam masa sama nak cuba luangkan masa dengan suami.
Aku harap kami tak bergaduh. Aku nak mula semula. Aku nak bermanja dengan dia.
Tapi aku takut. Aku takut kalau aku tersalah tingkah, tersalah cakap, aku kena maki lagi.
Aku tak tahu sampai bila aku boleh bertahan. Aku cuma nak bahagia. Aku cuma nak tenang. ๐