Saya cuma seorang lelaki biasa. Seorang ayah kepada tiga orang anak. Pernah ada perniagaan sendiri. Pernah ada impian, pernah ada keluarga yang saya sangka akan kekal sampai ke hujung nyawa.
Tapi itulah hidup. Bila Allah tarik satu-satu nikmat, saya belajar… cinta pun boleh pudar bila poket mula kosong.
Dulu Saya Ada Segalanya
Waktu mula kahwin, isteri saya tak minta lebih. Tapi bila saya ada duit lebih, saya belikan apa yang dia suka. Telefon baru, beg tangan, baju anak-anak. Saya tak pernah berkira.
Saya bukan lelaki kaya, tapi saya lelaki yang berusaha.
Sampai satu masa, perniagaan saya mula merosot. Pelanggan makin kurang. Hutang makin banyak. Tapi saya tak pernah putus harap. Saya kerja siang malam. Sewa rumah, bil elektrik, bil air, susu anak, pampers, makan minum — semua saya usaha sediakan.
Saya pernah ikat perut sampai petang. Tak sanggup beli nasi lemak RM2 waktu pagi. Saya tunggu balik kerja, baru makan apa isteri masak.
Isteri Mula Minta Cerai Bila Tak Cukup Duit
Setiap kali duit tak cukup, isteri mula tawar hati. Bila apa dia nak saya tak dapat bagi, dia mula minta cerai. Awalnya saya fikir dia marah sekejap. Tapi lama-lama, setiap bulan ada saja ugutan cerai.
Saya masih bertahan sebab saya sayang dia. Sayang keluarga yang saya bina.
Dia minta nak bekerja, alasan nak bantu saya. Tapi bila dia bekerja, kos makin tinggi. Anak-anak kena hantar ke pengasuh. Duit minyak, duit makan dia — semua jadi beban baru.
Saya minta dia sabar dulu. Kalau saya ada duit lebih, saya ganti balik. Tapi dia bising. Katanya:
“Kau tu suami. Ketua keluarga. Patutnya kau yang tanggung semua!”
“Aku Menyesal Kahwin Dengan Jantan Miskin Macam Kau”
Hati saya hancur bila dia cakap macam tu. Saya tak minta dia puji saya hari-hari, tapi sekurangnya fahamlah perjuangan saya.
Gaji dia RM2,000 sebulan. Tapi bila saya tanya mana duit tu pergi, dia marah. Katanya itu duit dia. Bila saya tak mampu bagi duit belanja, dia akan pandang saya dengan hina.
“Aku menyesal kahwin dengan jantan miskin macam kau!”
Saya cuma tunduk diam. Tak mampu nak jawab apa.
Dan Hari Itu, Saya Menyerah
Lepas bertahun dia minta cerai — akhirnya saya taip mesej, dengan hati yang kosong:
“Aku ceraikan kau.”
Dan jawapan dia?
“Alhamdulillah. Terima kasih.”
Tak ada tangisan. Tak ada rasa sedih. Yang ada cuma satu perkataan… lega.
Kini, Saya Hanya Seorang Ayah
Saya masih ayah kepada tiga anak. Saya tetap sediakan keperluan rumah, walau bukan untuk seorang isteri lagi. Saya masih ke tempat kerja, kadang tak makan pagi. Tapi kali ini, bukan sebab takut tak cukup duit untuk isteri… tapi sebab saya mahu cukupkan untuk anak-anak saya.
Saya tak benci dia. Saya cuma kecewa. Sebab saya kahwin bukan untuk dilayan ikut tebalnya dompet. Tapi mungkin, rezeki saya belum sampai kepada perempuan yang tahu hukum hakam perkahwinan.
Adakah Masih Ada Perempuan Yang Sudi?
Saya tak banyak syarat.
Saya cuma dambakan seorang isteri yang tahu tanggungjawab. Yang sanggup susah senang. Yang faham erti nafkah bukan sekadar wang. Yang tahu rumah tangga ini ibadah, bukan medan perbandingan siapa lebih mewah.
Saya seorang lelaki biasa. Tapi saya janji — saya akan tetap jadi suami yang berusaha. Walau seribu kali jatuh, saya akan bangkit kalau ada tangan yang mahu genggam dan bangun sama-sama.
Adakah yang sudi mendirikan masjid dengan lelaki macam saya?