KUALA LUMPUR, 22 Okt (Sensasi) – Rumah tangga pelakon popular Uqasha Senrose dan Kamal Adli dilaporkan menghadapi keruntuhan apabila Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya pada 1 Oktober lalu atas alasan “tiada persefahaman”.

Peguam mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd Manaf, mendedahkan bahawa anak guamnya sudah hilang sabar selepas bergolak dalam tempoh lama dan tidak menerima sebarang usaha pemulihan daripada pihak suami.

“Uqasha sudah tidak boleh bersabar dan tiada persefahaman. Itu sahaja.” – Peguam

Tiada Kehadiran Kamal, Prosiding Ditangguh

Pada sebutan pertama di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Jalan Duta, Uqasha tiba seawal jam 9 pagi namun Kamal dilaporkan gagal hadir & hanya diwakili peguamnya. Keadaan itu menyebabkan mahkamah menangguhkan kes ke 28 Oktober untuk pengesahan sama ada defendan bersetuju atau membantah tuntutan perceraian tersebut.

Keretakan Rumah Tangga Bermula April

Menurut laporan, keretakan antara pasangan itu dipercayai bermula sejak April lalu — sebelum ini mereka dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung dengan Uqasha menetap di rumah ibunya. Namun, peguam menegaskan bahawa proses peceraian bukan berpunca daripada orang ketiga.

Walaupun, Uqasha kelihatan tenang ketika ditemui media, beliau dilihat menggeleng ketika soalan tentang rumah tangga diajukan. Beliau turut memberi isyarat agar Kamal memberi kerjasama bagi melancarkan prosiding.

“Jangan buat tak hadir begini, saya pun ada kerja saya.” – Uqasha berkata ringkas.

Tarikh Berbeza

Melalui hantaran Instagram terbarunya, Uqasha mendakwa bahawa akad pernikahan mereka sebenar telah dijalankan pada 5 November 2021 jam 9 pagi di Janda Baik, Pahang. Namun, dalam sijil nikah rasmi yang dicatatkan, tarikh yang tertera ialah 4 November 2021 jam 9.30 malam — sehari lebih awal dan tanpa pengetahuannya.

“Allah Maha Besar, masya-Allah satu lagi. Aku dinikahkan dan diakad atas pengetahuan aku pada 5/11/2021 jam 9 pagi. Tapi di sijil nikah aku dinikahkan pada 4/11/2021 jam 9.30 malam. Allahuakhbar… adakah sah perkahwinan ini?” tulisnya.

Punca Pertikaian

Uqasha menyatakan bahawa dia tidak diberitahu mengenai akad atau majlis yang dikatakan berlaku pada 4 November malam, dan hanya baru menyedari maklumat itu selepas prosiding perceraian mereka.

Beliau mendakwa manipulasi melibatkan tarikh dan waktu, dan ia “bukan sekadar salah taip” — tetapi soal “pengetahuan bakal isteri” serta kesahihan akad nikah itu sendiri.

Tambahan pula, Uqasha mendakwa pihak suami dan/atau keluarga suami belum pun mengambil sijil nikah dan kad perakuan nikah rasmi — yang menimbulkan tanda tanya terhadap perlaksanaan pernikahan mereka.

Pasangan ini disatukan sebagai suami dan isteri pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira.