Bapa Prihatin, Jururawat Tak Sensitif
Seorang bapa muda hanya ingin melakukan tanggungjawab sebagai ayah, membawa anak kecil berusia 8 bulan ke sebuah klinik kesihatan kerajaan untuk pemeriksaan rutin.
Namun siapa sangka, niat murninya itu disambut dengan sindiran sinis oleh seorang jururawat bertugas.
Wanita yang juga ibu kepada bayi tersebut tampil meluahkan rasa terkilan melalui satu hantaran media sosial, menceritakan bagaimana suaminya dihina secara terbuka hanya kerana mengambil peranan sebagai penjaga anak hari itu.
“Mak Awak Dah Tak Sayang Awak Ke?” – Sindiran Tajam Buat Ayah Terasa
Kata-kata yang dilontarkan oleh jururawat tersebut bukan sahaja tidak profesional, tetapi juga melukakan hati seorang bapa yang sedang berusaha melakukan yang terbaik. Ayat yang dikatakan ialah:
“Dik, mak awak dah tak sayang awak ke?”
Ayat itu ditujukan kepada anak kecil mereka, tetapi secara terang-terangan menghina peranan si bapa. Bayangkan jika situasi ini berlaku kepada ibu – pasti akan berlaku kemarahan berganda.
Netizen Bangkit Membela – “Ni Ayah Prihatin, Bukan Ayah Buang Tanggungjawab!”
Hantaran tersebut menjadi tular dan mengundang kemarahan ramai netizen. Majoriti pengguna media sosial menyifatkan sikap jururawat itu sebagai “berat sebelah”, “lapuk” dan “tak layak bekerja dengan masyarakat.”
Ramai yang menyokong tindakan si bapa, dan menganggap jururawat tersebut masih terperangkap dalam pemikiran stereotaip, di mana tugas menjaga anak hanya diletakkan atas bahu wanita.
Antara komen popular netizen:
- “Kalau ayah tak bawa, kena marah tak ambil tahu. Bila ayah bawa, kena sindir pula? Apa yang kau nak sebenarnya?”
- “Jururawat macam ni patut kena kursus semula pasal etika layanan pelanggan.”
- “Yang ramai bising bapa tak jaga anak lah, ni bila jaga pun dipandang rendah. Padanlah ramai lelaki give up.”
Perlu Diterapkan Etika & Empati Dalam Perkhidmatan Awam
Kejadian ini mengundang perbincangan lebih besar mengenai etika komunikasi dalam perkhidmatan kesihatan awam. Ramai bersetuju bahawa kakitangan seperti jururawat dan doktor seharusnya mengutamakan empati, komunikasi berhemah, dan sikap hormat kepada semua pesakit – tanpa bias.
Tak semua keluarga berfungsi sama. Ada isteri bekerja, ada suami bekerja dari rumah. Ada pasangan berkongsi tugas sepenuhnya. Apa salahnya bapa bawa anak?
Ayah Pun Ada Hati, Jangan Hina Pengorbanan Senyap Mereka
Dalam dunia moden hari ini, peranan bapa bukan lagi sekadar ‘cari duit’. Mereka juga belajar jadi tukang bancuh susu, penukar lampin, penghibur anak – dan penjaga kesihatan si kecil.
Satu kata-kata sinis… boleh jadi tamparan besar untuk seorang ayah yang cuba buat yang terbaik.