PETALING JAYA – Panas di pejabat bola sepak negara apabila tiga nama besar – FAM, JDT dan Selangor – masing-masing disaman selepas melanggar peraturan pertandingan di beberapa aksi besar Asia.

Dalam kenyataan rasmi, Jawatankuasa Tatatertib & Etika berkata hukuman itu membabitkan aksi Kelayakan Piala Asia 2027, Asian Champions League Elite (ACLE) dan Asian Champions League 2 (ACL2).

FAM didenda US$1,875 (RM7,788) gara-gara kelewatan memulakan babak kedua ketika Malaysia menentang Laos di Bukit Jalil pada 14 Oktober lalu.

Menurutnya, wakil FAM menyebabkan sepak mula babak kedua tertangguh 2 minit 30 saat, satu kesalahan bawah Artikel 2.2 Manual Operasi Pertandingan.

Mereka diberi amaran: denda mesti dijelaskan dalam masa 30 hari, atau tindakan lain boleh menyusul.

Gergasi 11 tahun berturut-turut Liga Super itu menerima tamparan paling kuat apabila didenda US$5,000 (RM20,783).

Kesalahan?
Mereka mendakwa JDT gagal menyediakan “Clean Stadium” di pusat latihan rasmi ketika aksi ACLE menentang Machida Zelvia pada 30 September.

Dalam pertandingan elit seperti ACLE, setiap sudut stadium perlu bebas daripada logo penaja tidak rasmi – dan JDT dikatakan gagal mematuhi standard tersebut.

Selangor turut ‘tersangkut’ apabila didenda US$1,250 (RM5,195) kerana kelewatan 1 minit 20 saat memulakan separuh masa kedua dalam aksi ACL2 menentang Persib Bandung pada 23 Oktober.

Kesalahan kelihatan kecil, tapi mereka tetap anggap ia melanggar protokol pertandingan.

Mereka menegaskan semua denda – bagi FAM, JDT dan Selangor – wajib dilunaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan.

Satu pengajaran besar buat pasukan Malaysia:
Di pentas Asia, kelewatan seminit pun boleh makan saman ribu-ribu.