Seorang wanita hamil dari Kampung Hobong, Distrik Sentani di Wilayah Papua, Indonesia, dilaporkan meninggal dunia bersama bayi dalam kandungan selepas tidak menerima rawatan daripada beberapa hospital ketika hendak bersalin pada 18 November lalu, lapor portal Kompas.

Menurut keterangan keluarga, wanita dikenali sebagai Irene Sokoy dibawa dari Kampung Kensio, kira-kira 3 pagi dengan bot laju menuju ke Rumah Sakit (RS) Yowari untuk bersalin.

Namun, setibanya di hospital, mangsa tidak dapat dirawat dengan alasan berat bayi mencecah empat kilogram dan memerlukan pembedahan sebelum dia dirujuk ke Rumah Sakit Umum Daerah Abepura (RSUD) Abepura.

Ketika tiba di RSUD Abepura, mangsa sekali lagi tidak dilayan dan dirujuk ke Rumah Sakit Dian Harapan. Namun, hospital itu turut menolak untuk memberikan rawatan dan merujuknya semula ke RS Bhayangkara.

Setibanya di RS Bhayangkara, pihak hospital meminta keluarga menyediakan wang tunai sebanyak lapan juta Rupiah (kira-kira RM26,450) bagi menampung kos pembedahan bersalin.

Disebabkan keluarga tidak mampu menyediakan wang itu, mereka membawa Irene ke RSUD Jayapura. Bagaimanapun, Irene disahkan meninggal dunia bersama bayi dalam kandungan ketika dalam perjalanan ke hospital berkenaan.

Menangani insiden berkenaan, Timbalan Ketua Daerah Jayapura, Harris Richard Yocku, menyampaikan rasa dukacita atas pemergian ibu dan bayi itu.

“Berhubung kematian ibu dan anak, kami mengucapkan takziah dan mendoakan supaya keluarga terus diberikan kekuatan,” katanya di Sentani, semalam.

Timbalan Ketua Daerah itu berkata, pihaknya kini berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan di RSUD Yowari.

“Komitmen saya bersama Ketua Daerah adalah terus memperbaiki infrastruktur dan perkhidmatan di RSUD Yowari supaya lebih baik,” katanya.

Beliau menambah: “Saya percaya tenaga perubatan sudah melakukan yang terbaik. Namun, mungkin ini memang satu bencana yang tidak dapat dielakkan sehingga ibu dan bayi meninggal dunia.”

Sementara itu, Gabenor Papua, Mathius Fakhiri menyatakan rasa berang terhadap penolakan pesakit oleh beberapa hospital.

Gabenor Papua menegaskan bahawa semua hospital dan pusat kesihatan komuniti (puskesmas) di lapan daerah dan satu bandar di wilayah itu tidak dibenarkan menolak pesakit atas apa jua alasan.

“Sekali lagi saya ingatkan kepada semua hospital, puskesmas dan tenaga perubatan dilarang menolak pesakit atas sebarang alasan termasuk kes kecemasan,” katanya di Kota Jayapura, petang semalam.

Bekas Ketua Polis Wilayah Papua itu menegaskan bahawa mereka yang menolak pesakit akan dikenakan tindakan tegas.

“Saya ulangi, jangan menolak pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan. Jika masih ada yang menolak, saya pastikan mereka dipecat,” tegasnya