Kuala Lumpur: “Dia pernah beberapa kali gagal dalam perkahwinan,” kata sumber Harian Metro mengenai identiti penyanyi wanita yang ditangkap khalwat bersama lelaki berstatus suami orang.
Menurut sumber, penyanyi itu juga sudah memiliki cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu.
“Dia turut mempunyai anak,” katanya.
Sumber yang sama turut mengesahkan penyanyi itu adalah bekas peserta program realiti popular yang ditayangkan pada 2010.
Kelmarin, laman sembang kecoh apabila berita seorang penyanyi yang juga bekas peserta program realiti didakwa ditangkap khalwat bersama kekasih berstatus suami orang di rumah sewa mereka.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak akan mendedahkan identiti penyanyi terbabit.
Pegawai Perhubungan Awam Jais, Nur Syamira Md Suffri berkata, keputusan itu dibuat bagi menjaga aib individu itu selain siasatan masih lagi dijalankan.
“Jais mengesahkan tangkapan khalwat berlaku membabitkan selebriti namun kami tidak akan mendedahkan maklumat peribadi individu yang ditangkap,” katanya ketika dihubungi.
